Artikel Khas

Jadikan Tamadun Islam tonggak dunia, jangan biar diri terus dijajah

Tak guna mendabik bersorak merdeka jika tiada keyakinan terhadap akidah

SAMBUTAN hari kemerdekaan semakin hampir, dan seperti biasa sambutan di seantero negara tampak makin tinggi walaupun dengan kekangan COVID-19.
 
Apakah kemerdekaan?
 
Kemerdekaan adalah sambutan meraikan kemenangan Tanah Melayu bebas daripada penjajahan.
 
Menjadi kewajipan untuk memahami kemerdekaan bukan sekadar peristiwa yang berlaku pada 31 Ogos 1957, tetapi dengan melihat sejarah 400 tahun penjajahan yang berlaku sejak 1511.

Seseorang yang hanya memahami merdeka dengan peristiwa pada penghujung perang dunia kedua akan gagal memahami apa yang kita inginkan dalam sebuah kemerdekaan.
 
500 tahun yang lampau, pada kurun ke-16, dunia menyaksikan perubahan landskap sejak kebangkitan Islam pada kurun ke-6. Buat pertama kalinya Eropah mula cuba memintas kebangkitan Tamadun Islam.

Di sebelah selatan Eropah bermulanya Renaissance dengan kemunculan tokoh-tokoh Renaissance seperti Da Vinci, Michaelangelo, Machiavelli dan Copernicus. Kesemua mencabar dengan naratif baru meninggalkan naratif Catholic dengan kemodenan baru.

Di utara Eropah pula munculnya gerakan Reformation oleh Protesten, melawan gereja katolik. Kekalahan perang Salib pada tiga kurun dari kurun ke-11 sehingga kurun ke-13 memaksa berlakunya “Age of Discovery” oleh Eropah, walaupun apa yang di temui telah lama ditemui oleh Islam sehingga ke hujung Asia, di mana ketika itu Wilayah Islam merangkumi ketundukan 2/3 dunia.

Pasca kurun ke-14, pada kurun ke 15 inilah juga Sepanyol dan Perancis mula menyambung “Age of Discovery” pada kurun sebelumnya, dengan peristiwa kematian Columbus pada kurun ke 16 menyaksikan seolah-olah baton telah diserahkan pada kurun berikutnya.
 
Latar belakang ini di tanam di dalam setiap buku teks, di dalam setiap naratif “Euro-centrism” seolah kemajuan hanya di pihak Eropah. Walaupun hakikatnya zaman inilah Eropah sedang mencari identiti, dalam keadaan Islam juga mencipta kemajuan di timur tengah dan selatan Eropah.

Kemunculan 3 kuasa besar Islam Uthmaniyah, Safavid dan Mughal juga muncul ketika ini. Tidak kurang juga kemajuan Tanah Melayu yang mencapai kemuncaknya pada kurun yang sama sebelum krisis dalaman dan kejatuhan Melaka berlaku.
 
Bagaimanapun, kemaraan kristian mistik Eropah melihatkan strategi mereka menyerang di penghujung benua. Kegagalan 3 kurun perang salib menyaksikan mereka menukar strategi daripada menyerang terus di timur tengah dan utara Afrika tidak berjaya, maka mereka mula menukar strategi menakluk di penghujung-penghujung benua yang boleh.

Maka muncullah cita-cita menawan Melaka yang merupakan tamadun paling timur yang dimiliki oleh umat Islam. Jalan darat dihujungnya akan ditemui Turkistan Timur, dan jalan laut akan menemui Melaka.

Keinginan ini disambut oleh Lopez De Sequeira. Keinginan dan kejahatan De Sequira difahami dengan jelas oleh Sultan Mahmud Shah dan cubaan membunuh De Sequira selepas setahun De Sequeira berkonspirasi dan merancang di Melaka.

Dipantaskan masa berlakulah peristiwa 1511 kejatuhan Melaka hasil pembelotan, dan cubaan berkali-kali akhirnya jatuhlah Melaka pada 1511 di tangan Alburqueque. Kerajaan Melaka tidak jatuh secara total tetapi berpindah ke Johor dan Perak yang hanya jatuh selepas penjajahan Belanda dan British.
 
Bermulalah fasa penjajahan imperialis selama 400 tahun.
 
Memahami bahawa penjajahan bukanlah suatu yang ringkas, tetapi sebuah keinginan yang kompleks menggabungkan ketamakan, bongkak, dan kerakusan. Maka kesan 400 tahun bukanlah suatu yang semudah “mereka keluar” dan Malaysia terus menjadi sebuah negara yang makmur dan kukuh.
 
Hasil negeri yang di curi dan dijarah, bukan sahaja meninggalkan sebuah negara dalam keadaan hilang kekayaan, tetapi lebih besar daripada itu mereka meninggalkan Malaysia di dalam keadaan penjajahan jiwa.

400 tahun usaha mengkristianisi Malaysia gagal, dengan kedatangan Francis Xavier pada 1545, walaupun dia kononnnya mengkristiankan 100,000 penduduk India secara “dakyah dan akhlak”, namun ternyata dia gagal mengkristiankan penduduk Melayu Melaka dan sekitarnya.

Sebab itu sehingga ke hari ini gereja Francis Xavier bukanlah sinonim dengan orang Melayu sejak pembinaannya pada 1874. Berbeza dengan pembukaan oleh Islam yang mana konsep satu Ummah dan Negara dibawah wilayah tidak dipaksa-paksa dan tidaklah diperakui sehingga menjadi mundur seperti tindakan mereka di India dan Tanah Melayu.
 
Kegagalan mengkristiankan tidak menyekat kemaraan perubahan jati diri Melayu Islam. Usaha pencairan identiti dan menghilangkan aspek berterusan buat 400 tahun lamanya.
 
Kesannya membuak dan tampak hingga hari ini.
 
Persoalannya, di mana ingin bermula?
 
Bermula dengan memerdekakan jiwa daripada menjadi umat Islam Melayu yang “taqlidiy” atau mengikut. Di dalam setiap aspek kita meletakkan diri kita atas peneguhan aqidah bahawa Allah mencipta kita sebagai Khalifah, mampu untuk membina sebuah ketamadunan yang lebih hebat daripada apa yang pernah terlihat di Melaka suatu hari dahulu.
 
Penjajahan yang masih kekal adalah jiwa yang terjajah nampak lemah dan tidak mampu membentuk kehebatan yang tinggi. Terjajah melihat Eropah adalah kiblat kemajuan, seolah kita mundur mereka maju, seolah kita jahil mereka beilmu, dan kita tidak mampu menjadi bangsa dan ummah berilmu.
 
Menjadi tanggungjawab kita di setiap individu, setiap keluarga, setia komuniti, setiap helaian ilmu untuk berusaha membangkitkan semula jiwa yang mempunyai keyakinan bahawa kita akan bangkit menjadi sebuah Tamadun yang mampu mengalahkan kemajuan Eropah, Amerika, China dan Jepun.
 
Mereka yang masih mengatakan mustahil, masih terperangkap di dalam putaran demokrasi dan reductionist yang nampak kita gagal kerana tiada contoh tauladan yang ada di hadapan kita.

Ahli politik yang tidak boleh diharap, tahap pendidikan yang hanya sederhana, kesemua ini membentuk perasaan putus asa.
 
Namun mereka yang berpegang kepada kemerdekaan jiwa dari belenggu masalah hari ini, yang memahami bahawa yang paling penting adalah wawasan yang ingin dicapai, kesemua yang maju hari ini juga bermula dengan bangsat dan jahil, malah lebih tidak bertamadun daripada Melaka itu sendiri. Maka pasti kita yakin bahawa membina ketamadunan Islam sebagai tonggak dunia bermula di tanah ini merupakan syiar kemerdekaan yang perlu dinyalakan.
 
Tiada erti kita mendabik bersorak merdeka, dalam masa sama tiada keyakinan terhadap akidah kita, pandangan nilai masih melihat nilai Islam dan Melayu sebagai kuno dan tidak bermanfaat, sistem politik dan ekonomi masih mengikut secara mutlak tanpa tapisan, dan kesemua kemajuan dan teknologi masih mengekor rapat hasil tangan bangsa lain.
 
Sedangkan ketika Renaissance bangkit di Eropah 500 tahun dahulu, di saat mereka baru menapak bangkit, kemajuan di Melaka adalah lebih baik, kita tidak memerlukan mereka untuk maju, malah merekalah belajar dari kekayaan umat ini sehinggakan sijill universiti mereka pun tertulis basmalah di atasnya!

Namun pada hari ini kita perlu mulakan dari bawah, bermula dari jiwa, dan dikembangkan kepada sebuah sistem ketamadunan yang maju dan unik mengatasi ketamadunan atheis yang wujud pada hari ini.
 
Ayuh kita mulakan dengan jiwa yang merdeka. Ayuh merdekakan diri. Ayuh!

Ustaz Mohd Suhail Mohd Sufian
Naib Pengerusi Majlis Ulama Islam ISMA (MUIS) 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button