Pendapat

Kabinet Ismail Sabri perlu buktikan COVID-19 dapat dikawal, ekonomi terus meningkat

Rakyat tak mahu lagi kemelut pemimpin berebut kuasa

PAGI Jumaat semalam 27 Ogos, Perdana Menteri (PM) telah mengumumkan senarai ahli Kabinet baru yang kelihatan tidak banyak berbeza dengan barisan Kabinet yang lama. Namun begitu, kita bersyukur, berakhir sudah kemelut politikus mahu menjatuhkan kerajaan.

2. Senarai besar ahli Kabinet pilihan PM Datuk Seri Ismail Sabri jelas tidak menunjukkan banyak perubahan, jika ada pun yang agak ketara dan bakal mengundang kontroversi ialah di Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Belia dan Sukan dan satu dua di Kementerian di Jabatan Perdana Menteri bahagian (Parlimen dan Undang-undang) dan (Hal Ehwal Agama). Semua ini Kabinet muka baru.

3. Manakala kerusi yang berisiko ialah kerusi Kementerian Kesihatan dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang bergantung harap kepada turun naiknya angka jangkitan COVID-19, ia hanya bertukar orang sahaja. Walaupun di Kementerian Pertahanan berlaku pertukaran Menteri, namun ia seperti sirih pulang ke gagang sahaja. Tiada berita baik, namun setidak-tidaknya tidak ada Kiasu-Cauvanis tersenarai berada di kementerian strategik pertahanan negara seperti di era Pakatan Harapan dahulu.

4. Kerusi paling panas yang ramai mengharapkan ada pertukaran drastik nampaknya terus kekal menjadi milik orang yang sama, beliau kekal sebagai Menteri Kanan – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Ramai mengatakan kementerian itu adalah lubuk emas berbanding semua kementerian yang ada. Selain beliau berjaya membuktikan kekebalan dirinya, beliau juga jelas berjaya menunjukkan ada pengaruh kuat dengan orang atasan walaupun desas-desus mengatakan tidak ada satu parti pun yang mahu menerimanya sebagai ahli.

5. Mungkin ramai tertanya-tanya di manakah rasionalnya mereka yang buruk perangai masih diperlukan khidmatnya, sedangkan Islam menasihati agar menjauhi mereka yang berperangai buruk ini, kerana bala’ yang dibawa oleh mereka sejak dari zaman dahulu hinggalah ke hari ini tidak pernah terpadam dalam lipatan sejarah.

6. Dalam sebuah hadith ada menyebut – Nabi SAW, Baginda bersabda: “Tidak akan masuk syurga seorang penipu, orang yang bakhil, orang yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya dan *PEMIMPIN YANG BERPERANGAI BURUK*. Orang yang pertama kali akan masuk syurga adalah hamba yang taat kepada Allah dan kepada tuannya (majikannya).” (HR Ahmad)

7. Mungkin bagi sesetengah orang, hadith ini tidak membawa erti apa-apa, tetapi bagi kami berpengalaman sebagai aktivis memperjuangkan Agama, Bangsa dan Tanahair ia sangat penting apatah lagi khabar ini datang dari Rasulullah SAW, maka tidak ada yang remeh jika sesuatu itu dari Baginda SAW. Kecuali mereka yang membenci Islam dan yang meragui ciri-ciri ahli neraka yang dikhabarkan oleh Baginda SAW.

8. Hadith ini memberitahu tentang pemimpin yang berperangai buruk. Selain disyarah maksud ‘buruk’ itu ialah pemimpin yang menjauhkan rakyat daripada kehidupan yang sejahtera. Ia juga membawa maksud pemimpin yang berakhlak buruk seperti pemabuk, suka beri janji palsu, mengambil rasuah dan termasuk yang rosak akhlak peribadinya seperti kerap berzina dan lebih berat lagi yang ketagih melakukan perbuatan diluar tabi’i iaitu meliwat.

9. Hakikatnya hari ini rakyat sudah tidak mahu lagi kemelut perebutan kuasa berlaku, dan jangan pula kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Hanya kerana hendak menjaga hati seorang dua berperangai buruk, terus kekal berada di saf kepimpinan negara sampai suatu masa nanti kita semua terpaksa menanggung bala’ dari Allah SWT yang akan tertimpa ke atas kita tanpa mengira Islam atau kafir, Melayu atau bukan Melayu dan semuanya kena tanpa terkecuali.

10. Saat senarai kabinet diumumkan, negara kita masih dibebani dengan ancaman pandemik COVID-19, sehingga hari ini angka jangkitan tidak menunjukkan tanda-tanda berkurangan, malah mungkin akan bertambah, jika ia tidak betul-betul ditangani dengan serius oleh pakar bidang.

11. Ramai yang berasa tidak puas hati dengan perlantikan Menteri Belia dan Sukan. Sebelum ini beliau telah hilang jawatan disebabkan tidak ada majoriti dan terpaksa melepaskan jawatan Menteri Besar. Kemudian dilantik semula sebagai Penasihat Khas bertaraf menteri kepada PM dulu. Seminggu kemudian PM kerajaan Perikatan Nasional yang beliau nasihati itu tumbang. Sekarang orang yang sama ini diangkat pula sebagai Menteri Belia dan Sukan, kementerian yang ramai menganggap taraf Syed Saddiq sahaja.

12. Apa sekalipun tanggapan kita, negara kita sudah ada PM ke-9 dan barisan kabinet baru. Kini tibalah masanya bagi beliau bersama barisannya membuktikan dalam tempoh 100 hari sampai mana pencapaian yang mampu dicapai. Pandemik COVID-19 mesti dapat dikawal, ekonomi harus meningkat dan pengangguran mesti diatasi. Syabas dan tahniah atas perlantikan semua perwakilan kerajaan baru, buktikan kemampuan anda layak terpilih dengan kewibawaan dan integriti pada diri anda semua.

Haji Rashidi Haris
Ketua Media PEMBELA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button