Berita Utama

Syor ‘klinik bergerak’ vaksinasi di kawasan kampung dan pedalaman

Negeri rendah kadar vaksinasi sedang hadapi peningkatan kes mendadak

BANGI, 20 Muharram 1443H, Ahad – Walaupun cakupan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sudah mencapai 61 peratus untuk sekurang-kurangya dos pertama, namun taburannya tidak sekata di seluruh negara.

Statistik menunjukkan masih terdapat negeri-negeri yang jauh ketinggalan kurang 50 peratus populasi dapat vaksin pertama, jauh lagi lengkap vaksin kedua.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Dr Ihsanuddin Abbas tidak menolak kemungkinan trend negeri yang masih rendah disebabkan capaian di luar bandar atau kawasan pendalaman masih rendah.

“Ambil contoh di Terengganu, daerah di bandar utama tinggi kadar pendaftaran berbanding daerah yang besar dan mempunyai kawasan pendalaman yang lebih luas seperti Dungun, Setiu dan Besut.

“Jika dibandingkan dengan kes harian, negeri-negeri yang kurang liputan vaksinasi kini sedang menghadapi peningkatan kes yang mendadak khususnya Sabah, Kelantan dan Kedah,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Beliau berkata demikian merujuk kepada statistik yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

Susulan itu, bagi mempercepatkan vaksinasi, Dr Ihsanuddin mengesyorkan kerajaan menggunakan klinik desa serta ‘klinik bergerak’ untuk capaian di kawasan kampung dan pendalaman.

“Kerajaan perlu mengubah strategi yang lebih berkesan untuk kumpulan sasar dengan kaedah ‘outreach’ atau ‘PPV mobile’,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button