Berita Utama

581.48 hektar kawasan di Selangor dilulus sebagai gantian Hutan Simpan Kekal

Jumlah keluasan HSK di negeri ini tidak kurang dari 30 peratus

SHAH ALAM, 21 Muharram 1443H, Isnin – Kawasan seluas 581.48 hektar di Selangor diluluskan sebagai gantian Hutan Simpan Kekal (HSK).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, keputusan itu dibuat menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 5 Mei dan disahkan pada 19 Mei.

Katanya, ia melibatkan Lot PT4182 Mukim Sungai Panjang di daerah Sabak Bernam seluas kira-kira 308.62 hektar; tanah kerajaan di Ampang Pechah, Mukim Buloh Telor di daerah Hulu Selangor seluas 208.98 hektar dan Bukit Broga, Mukim Semenyih di daerah Hulu Langat seluas 63.88 hektar.

“Setelah mengambil kira keluasan HSK yang akan dinyahwartakan dan kawasan gantian baru, jumlah keluasan HSK adalah kira-kira 250,255.36 hektar iaitu pertambahan sekitar 47.97 hektar,” katanya ketika menggulung pertanyaan ahli DUN di sini, hari ini.

Loy Sian seperti dilapor BH berkata, secara umumnya, kerajaan Selangor masih dapat mengekalkan keluasan HSK di negeri ini tidak kurang daripada 30 peratus.

Pada masa sama, beliau memaklumkan, jumlah asal keluasan HSK Kuala Langat Utara yang ingin dinyahwarta adalah kira-kira 991.90 hektar.

Namun kini, jumlah yang dipersetujui untuk dinyahwarta adalah kurang 45 peratus daripada jumlah asal tersebut.

“MMKN memutuskan hanya kira-kira 536.70 hektar daripada keseluruhan kawasan HSK Kuala Langat Utara diluluskan untuk dinyahwarta mengikut Seksyen 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985.

“Hal ini adalah kerana kerajaan negeri mengambil kira bantahan dan kepentingan biodiversiti serta kepentingan Orang Asli.

“Justeru, hanya sebahagian HSK Kuala Langat Utara yang dinyahwarta,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button