Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

64.7 peratus maahad tahfiz dalam negara terpaksa tutup operasi

Permata Al-Quran rayu kerajaan bantu operasi maahad tahfiz

BANGI, 21 Muharram 1443H, Isnin – Sebanyak 64.7 peratus maahad tahfiz dalam negara terpaksa ditutup operasi atas arahan kerajaan.

Presiden Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata Al-Quran), Manolito Mohd Dahlan berkata, dapatan itu adalah hasil kajian yang dilakukan pihaknya pada 30 hingga 31 Mei lalu ke atas 512 maahad tahfiz.

Berdasarkan kajian itu juga, katanya, 11.7 peratus maahad memberhentikan sepenuhnya kakitangan mereka sementara 52 peratus maahad lagi hanya mampu membayar separuh gaji pekerja.

“34.4 peratus maahad pula hanya mampu bertahan tidak lebih tiga bulan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga berkata, sebanyak 38.1 peratus maahad tidak menerima bantuan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) manakala 85.4 peratus maahad menerima yuran separuh atau kurang ekoran ibu bapa tidak berkemampuan.

Bimbang dengan senario tersebut, Manolito mahu maahad tahfiz sedia ada diselamatkan dan dibantu oleh pihak kerajaan. 

“Maahad tahfiz adalah menjadi salah satu benteng utama umat Islam untuk memahami al-Quran serta melahirkan pemimpin berjiwa Quranic. 

“Oleh itu, ia perlu diselamatkan agar tiada pemberhentian kakitangan, tiada pemotongan gaji kakitangan serta penutupan operasi maahad,” katanya.

Untuk memastikan keadaan itu tidak berterusan, beliau menggesa pihak kerajaan membantu menyalurkan bantuan perkapita (bantuan khas) untuk kakitangan termasuk guru, kerani, warden, tukang masak dan pekerja am.

Di samping itu juga, beliau berkata, maahad tahfiz memerlukan penyaluran bantuan segera peralatan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) serta bayaran kemudahan WiFi kepada ibu bapa yang tidak berkemampuan.

“Mohon dibenarkan juga maahad tahfiz beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Pihak Permata Al Quran ingin merayu kepada Perdana Menteri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jakim, JAIN dan MAIN supaya membantu maahad tahfiz di seluruh Malaysia daripada terus terancam dan menutup operasinya,” katanya.

Untuk rekod, Manolito berkata, maahad tahfiz persendirian yang berdaftar dengan JAIN atau Jakim berjumlah hampir 1,198 buah dengan murid berjumlah 84,643 orang dan guru berjumlah 10,357 orang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button