Dunia

Kekurangan air di Iraq beri kesan buruk pada kanak-kanak: UNICEF

3 daripada 5 kanak-kanak Iraq tak dapat akses perkhidmatan air selamat

GENEVA, 21 Muharram 1443H, Isnin – Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran terhadap risiko kesihatan kebanyakan kanak-kanak Iraq kerana tidak mempunyai akses bekalan air yang selamat dan bersih untuk diminum. 

UNICEF dalam satu kenyataan berkata, hampir tiga daripada lima kanak-kanak di Iraq tidak mempunyai akses perkhidmatan air yang dikendalikan dengan selamat. 

Wakil UNICEF di Iraq, Sheema SenGupta berkata, kurang separuh daripada semua sekolah di negara berkenaan mempunyai akses kepada air asas. 

“Di Iraq, tahap kekurangan air sangat membimbangkan, anak-anak tidak dapat berkembang dan membesar dengan penuh potensi tanpa air.

“Sudah tiba waktu untuk tindakan diambil terhadap perubahan iklim dan menjamin akses air yang bersih dan selamat kepada setiap kanak-kanak,” katanya.

Menurut UNICEF, musim hujan 2020-2021 di Iraq adalah yang kedua paling kering dalam 40 tahun terakhir, keadaan yang menyebabkan pengurangan aliran air yang teruk di Tigris dan Euphrates masing-masing sebanyak 29 peratus serta 73 peratus. 

Iraq bergantung pada air dari sungai Tigris dan Euphrates yang mengalir dari Turki dan Iran, namun beberapa tahun terakhir, aliran air menurun di kedua sungai berikutan taburan hujan rendah.

Angka rasmi Iraq menganggarkan jumlah kanak-kanak di bawah 14 tahun adalah 16.2 juta berdasarkan bancian baru-baru ini oleh Kementerian Perancangan Iraq pada Januari 2021. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button