Berita Utama

Keluarga Malaysia merdeka, siapa jaga kita?

Singapura makin maju, Indonesia bakal pintas, Malaysia bagaimana?

RAKYAT sudah berangan-angan hendak menyambut kemerdekaan ke-64 ini dengan tekad baru, azam baru dan semangat baru, kerana teruja mendapat Perdana Menteri baharu dan kerajaan baharu.

Namun, ada juga di kalangan kita yang gundah-gulana, kerana idaman mereka tak kesampaian. Usahlah begitu.

Sebagai prime movers kepada agenda kemakmuran negara, kita adalah perangsang kepada bangsa kita untuk lipat ganda dan menggembleng kudrat dan iradat kita semua, cekal bina kekuatan, dengan cara kita sendiri, dalam ekosistem yang sudah diperlengkap pelbagai prasarana, fasiliti, kemudahan dan sebagainya. Jom.

Bukan dalam pengawalan wabak COVID-19 saja kita berslogankan ‘kita-jaga-kita’ atau kawalan kendiri. Dalam mengharungi kehidupan yang kian berliku ini juga kita wajib bangkit dengan slogan yang sama. Inilah opsyen yang kita ada: ‘kita-jaga-kita’.

Dengan kebijaksanaan yang ada pada setiap dari kita, jom guna pakai slogan ini untuk bangkitkan semangat, kentalkan tekad dan jitukan azam kita, bermula daripada Hari Kemerdekaan Ke-64 ini.

Jadikan ia satu tarikh bersejarah sebagai Hari Renaisans Kebangsaan. Selepas ini, Hari Kemerdekaan hendaklah juga diraikan sebagai Hari Renaisans Kebangsaan.

Sayugia disejarahkan, 64 tahun yang silam datuk-nenek kita ambil kembali pemerintahan negara ini daripaa pentadbir British. Mereka dah laksanakan tanggungjawabnya. Kita belum.

Kita belum berjaya memerdekakan minda, atau merevolusikan mental kita menjadi bangsa yang berdaya-saing tinggi, mengungguli agenda kemakmuran negara dan meneroka agenda globalisasi.

Hakikatnya, kita masih lagi berstatus ‘the 3rd class citizen’. Fakta dan data terbitan Jabatan Perangkaan (DOSM) adalah buktinya.

Di arena antarabangsa, kita tidak boleh biarkan negara terus tercicir, sekadar berangan-angan saja untuk dilabel ‘The Asian Tigers’.

Singapura semakin jauh lebih maju dan makmur, Indonesia bakal memintas kita, China sudah sehebat Korea dan Jepun. Kita bagaimana?

Di arena domestik, kita tidak boleh iri hati kemajuan dicapai oleh lain-lain bangsa, sebab mereka dah lama hidup berslogankan ‘mereka-jaga-mereka’.

Tengoklah bagaimana institusi politik mereka jaga mereka, economic chambers mereka jaga ahli-ahli mereka, NGO pendidikan mereka jaga agenda pendidikan dan kebudayaan mereka.

Bagi mereka, ini tiga agenda yang utama yang wajib mereka jaga bersama. Yang lain tu penting juga tapi tidak sepenting tiga agenda itu.

Kita wajar mencemburui mereka, hatta tiru dan buat macam mereka. Kesilapan kita selama ini ialah terlalu bergantung kepada kerajaan dan pemimpin politik.

Bila pemimpin celarukan institusi politik yang kita sama-sama dukung, kita jadi lebih celaru dari mereka.

Justeru, jika diterima hakikat yang kita ini the prime movers kepada agenda nasional, janganlah hendaknya kita bermentalitikan dan berslogankan ‘kerajaan-jaga-kita’.

Sebagai langkah sulung, MPM akan berbisik sesama NGO untuk berkongsi slogan ini; ‘kita-julang-kita’.

Masing-masing buatlah takrifan sendiri akan slogan itu. Nawaitu kami ialah untuk julang bangsa ini menjadi bangsa yang Bemaruah, Berdikari, Berbakat & Berkeperibadian.

Misi kami yang kedua berslogankan ‘kita-kepong-kerajaan’. Nawaitu kami ialah untuk memastikan kerajaan ini tidak dihanyutkan oleh badai politik. Kestabilan politik amat kita perlukan dalam membina negara aman makmur.

Hendaknya, menjelang 31 Ogos 2021, kita angkat tarikh keramat itu sebagai Hari Renaisans Kebangsaan. Ia hari memperingati amanah yang kita galas.

Rajin-rajinlah merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, untuk kita baca, hadam dan hayati kandungannya. Kita wajib ketahui apa yang hak untuk kita.

Jika ada yang perlu kita tuntut, kita tuntut, jika ada yang perlu kita pertahankan, kita pertahankanlah. Jika ada yang perlu kita terajui, kita wajib tampil terajuinya.

Apa pun tindak-tanduk kita, kesejahteraan rakyat wajib dijamin, barulah kemakmuran lebih bermakna.

Sayugia diingatkan sentiasa, kita adalah prime movers dan kita lah juga petugas barisan hadapan, mendepani semua rakyat untuk sama-sama menghayati makna dan memanfaatkan nilai kemerdekaan ini.

Itu adalah misi kita yang ketiga: ‘Kita-jaga-semua’

Merdeka, Merdeka, Merdeka!

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)
Dato Dr Hasan Mad

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button