Berita Utama

Kemasukan ke ICU di Lembah Klang turun selari peningkatan liputan vaksinasi

Pastikan diri, keluarga terima dos lengkap vaksin demi kurangkan risiko

BANGI, 21 Muharram 1443H, Isnin – Kadar vaksinasi COVID-19 kian meningkat khususnya di Lembah Klang terus menunjukkan tanda-tanda awal yang positif, kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, kemasukan pesakit COVID-19 ke unit rawatan rapi (ICU) di hospital-hospital Lembah Klang menunjukkan trend penurunan selari dengan peningkatan liputan vaksinasi dos yang lengkap.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata, di Hospital Sungai Buloh khususnya, kemasukan pesakit COVID-19 kategori 4 dan 5 semakin berkurangan.

“Marilah kita bersama-sama berusaha memastikan diri sendiri dan ahli keluarga tersayang yang layak menerima dos vaksinasi lengkap bagi mengurangkan risiko keterukan penyakit yang serius dan kemasukan ke hospital, mengurangkan risiko kemasukan ke ICU dan mengurangkan risiko kematian akibat COVID-19.

“Mengambil dos lengkap vaksin COVID-19, memakai pelitup muka (sebaiknya double face mask dan face shield), menjaga penjarakan fizikal dengan mengelakkan 3S dan kerap mencuci tangan adalah usaha dan ikhtiar kita untuk mencegah dan membendung penularan jangkitan virus COVID-19,” katanya.

Setakat semalam, sebanyak 302,804 dos vaksin COVID-19 diberikan, di mana 160,618 individu lengkap menerima dos kedua.

Jumlah itu menjadikan peratusan vaksinasi populasi dewasa Malaysia yang lengkap dua dos mencapai 62.6 peratus dan 82.8 peratus lagi sudah menerima sekurang-kurang satu dos.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button