Lembah Klang sudah boleh beralih ke fasa PPN seterusnya: PM
Keputusan akan dibincang dalam mesyuarat bersama Kabinet

BANGI, 21 Muharram 1443H, Isnin – Kawasan Lembah Klang mungkin beralih ke fasa seterusnya Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam masa terdekat.
Ini kerana, kadar vaksinasi cemerlang di Lembah Klang yang sudah mencapai lebih 80 peratus.
Oleh itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpendapat bahawa Lembah Klang sudah boleh beralih ke fasa seterusnya PPN.
“Semua ini bakal diputuskan selepas saya berbincang melalui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 bersama barisan Kabinet yang akan dipengerusikan saya nanti, InsyaAllah.
“Once again, i am so proud of everyone involved and this remarkable achievement,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Kenyataan Ismail itu menerima pelbagai respon daripada pengguna Facebook, di mana ada yang menyokong dan juga ada tidak bersetuju kerana menyifatkan kes masih terlalu tinggi.
Malah, sebahagian netizen juga menggesa Perdana Menteri menyemak semula pemberian vaksin di negeri-negeri lain yang bergerak perlahan berbanding di kawasan Lembah Klang.
“Mohon Datuk Seri lajukan juga proses vaksinasi di negeri-negeri lain supaya cepat dapat beralih ke fasa seterusnya dan membolehkan kami balik kampung,” kata Mohd Hazwan Rashid Takaful.
“Assalamualaikum Datuk Seri, mohon percepatkan kadar vaksinasi di Johor sebab nampak macam lambat sangat dan jauh lagi nak capai 50 peratus,” kata Farhadina Halim.
Setakat 29 Ogos, Lembah Klang merekodkan 5,563,589 individu lengkap divaksinasi dan 6,836,892 menerima sekurang-kurangnya dos pertama.