Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita UtamaIstimewa

NGO lebih kuat perjuang isu Melayu Islam berbanding parti politik

Parti Melayu tunggu ada majoriti baru buat perubahan, berbeza dengan MCA, DAP saling jaga kepentingan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 21 Muharram 1443H, Isnin – Sukar dinafikan rasa kekesalan apabila parti Melayu Islam sedia ada di negara ini sering mengharap serta ‘menjual alasan’ hanya boleh melakukan perubahan untuk bangsa jika mendapat sokongan majoriti.

Keadaan ini amat berbeza dengan parti minoriti lain yang tidak perlu menunggu undi majoriti pun untuk dapat mempertahankan sesuatu isu walaupun bukan semua agenda.

Naib Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA), Mohd Nor Izzat Mohd Johari menyifatkan, alasan ‘menunggu majoriti’ untuk melakukan perubahan adalah alasan orang yang penakut dan bacul. 

“Kononnya menunggu majoriti tetapi rupanya hangat-hangat tahi ayam. Misalnya dalam isu anggota bomba, arwah Muhammad Adib Mohd Kassim. Sebelum mendapat kuasa, isu pembelaan arwah dilaungkan setiap hari. 

“Apabila mendapat sedikit kuasa, ada bunyi-bunyi mengatakan banyak agenda ummah lain yang perlu diuruskan berbanding isu arwah Adib ‘seorang’.

“Isu sekolah vernakular juga salah satu isu yang pernah diperjuangkan oleh parti Islam yang ada dalam Malaysia tetapi malangnya, ketua pemudanya boleh mencadangkan agar sekolah vernakular diperkasa. Pening!,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Bukan itu sahaja, Mohd Nor Izzat yang juga lebih dikenali sebagai Cikgu Izzat berkata, kempen Beli Produk Muslim atau Buy Muslim First (BMF) yang diusahakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam sejak 2019 juga pernah menjadi modal untuk dipergunakan. 

“Sebelum dapat kuasa, habis ditunggangnya kempen BMF sehinggakan ada pihak menganggap ia kempen politik sedangkan ada orang politik yang tunggang isu. 

“Bila dapat kuasa, ada pimpinan tertinggi membeli barangan bantuan di pasar raya bukan muslim sedangkan ada pasar raya muslim di sekitar,” katanya.

Sementara itu, Cikgu Izzat turut meluahkan kekesalan berkenaan kerapuhan kesatuan antara parti Melayu Islam dengan gabungan NGO di negara ini.

Katanya, apa yang lebih jelas dilihat hari ini adalah NGO yang banyak memainkan peranan dan memberi tekanan kepada satu-satu isu yang berkaitan dengan kedaulatan negara dan kesucian agama, berbanding parti yang kononnya mahu memperkasakan agenda Melayu dan Islam.

“Berbeza dengan parti MCA dan DAP yang sentiasa bekerjasama menjaga kepentingan orang Cina. 

“MCA kalah, DAP bantu. DAP kalah, MCA bantu. Pasti ramai kenal dengan gabungan NGO mereka iaitu Hua Zong,” katanya.

Sehubungan itu, bagi menguatkan lagi permuafakatan antara orang Melayu di negara ini, beliau berkata, NGO perlu diberikan penglibatan signifikan dalam kerajaan agar dapat menjalankan fungsi semak dan imbang.

“Antara perkara yang diharapkan dapat dilakukan oleh Perdana Menteri kali ini adalah mengajak gabungan NGO seperti PEMBELA untuk bersama-sama menjadi semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan Malaysia.

“Bukannya hanya memilih NGO berpaksikan politik. Parti nak sapu, NGO proksi pun nak sapu. Tamak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button