Berita Utama

Penjawat awam antara 13 ditahan leka berparti, 11 positif dadah

Turut ditahan 3 wanita berumur dalam lingkungan 17 hingga 27 tahun

JOHOR BAHRU, 21 Muharram 1443H, Isnin – Seorang penjawat awam antara 13 ditahan dalam aktiviti parti persendirian di sebuah pangsapuri di Medini, Iskandar Puteri pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata dalam serbuan kira-kira pukul 4 pagi itu, seramai 10 lelaki dan tiga wanita berumur dalam lingkungan 17 hingga 27 tahun, termasuk penjawat awam lelaki yang berusia 27 tahun itu ditahan.

“’Private party’ ini dipercayai bermula pada kira-kira 9 malam, Sabtu dan dipercayai berakhir awal pagi Ahad. Penganjur dipercayai mengajak kesemua yang terlibat melalui aplikasi WhatsApp tanpa mengenakan sebarang bayaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dzulkhairi berkata polis turut merampas satu set pembesar suara dan satu unit lampu pencahayaan pentas selain ujian saringan air kencing mendapati sembilan lelaki dan dua wanita positif dadah jenis methaphetamine.

Sementara, dua daripada tahanan mempunyai rekod berstatus dikehendaki atas kesalahan dadah di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selain melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Pelan Pemulihan Negara (PPN). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button