Berita Utama

Sultan Selangor minta rakyat patuhi SOP, ambil vaksin, jangan pentingkan diri

Seru setiap rakyat perlu menghayati erti kemerdekaan sebenar

SHAH ALAM, 21 Muharram 1443H, Isnin – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah meminta seluruh rakyat agar tidak bersifat mementingkan diri dengan menolak pemberian vaksin COVID-19 yang boleh menjejaskan sasaran negara bagi mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat, seterusnya mengembalikan kehidupan rakyat seperti sediakala.

Menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi Selangor Royal Office hari ini bersempena sambutan Hari Kebangsaan, baginda turut bertitah mengingatkan kepada rakyat jelata agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan segera mengambil suntikan vaksin masing-masing.

Sempena memperingati sambutan hari bersejarah itu baginda bertitah, setiap rakyat perlu menghayati erti kemerdekaan sebenar di samping menghargai perjuangan tokoh-tokoh terdahulu ke arah mencapai kemerdekaan negara pada 1957.

“Baginda mahu penghargaan sama ditujukan kepada petugas-petugas barisan hadapan yang sedang berjuang merawat dan menguruskan wabak COVID-19 ketika ini, khususnya kakitangan hospital serta pihak-pihak yang terlibat secara langsung seperti pengurusan jenazah dan pengebumian,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut baginda amat berterima kasih dan terharu dengan pengorbanan petugas-petugas berkenaan dan mendoakan agar urusan mereka dipermudahkan serta sentiasa diberi kekuatan untuk berkhidmat demi kesejahteraan rakyat jelata.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan menzahirkan ucapan Selamat Hari Kebangsaan kepada seluruh rakyat Malaysia. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button