Berita Utama

15,785 kes tipu dalam talian direkod tempoh dua tahun

Polis tangkap dua dalang kes penipuan barangan elektronik

BANGI, 22 Muharram 1443H, Selasa – Polis berjaya menahan dua suspek dipercayai dalang utama kes penipuan penjualan barangan elektronik secara atas talian.

Penahanan itu dibuat susulan pihak polis mengesan kewujudan kes penipuan penjualan barangan elektronik menerusi akaun Instagram atas nama ‘Beauty_Saranghae’.

Suspek warga tempatan berusia 32 dan 53 tahun yang ditahan pada 9 Ogos lalu itu, direman bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, setakat ini, sejumlah 64 kes sedang disiasat membabitkan akaun Instagram terbabit melibatkan nilai kerugian mencecah RM153,759.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, modus operandi yang digunakan adalah dengan mengiklankan pelbagai barangan elektronik pada harga lebih murah daripada pasaran.

“Pembeli yang berminat kemudiannya akan diarahkan untuk membuat bayaran ke dalam akaun yang diberikan.

“Namun, setelah pembayaran dibuat, barangan yang dijanjikan tidak diterima,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, sepanjang 2019 hingga 30 Ogos 2021, polis telah menyiasat sejumlah 15,785 kes penipuan secara atas talian atau e-Commerce melibatkan kerugian keseluruhan RM110,596,301,37.

Katanya, sejumlah 3,512 kes dicatatkan pada tahun 2019 dengan kerugian RM28,033,387.22 dan tahun 2020 sejumlah 5,846 kes dicatatkan dengan nilai kerugian mencecah RM41,432,531.48.

“Manakala bagi tempoh Januari hingga 30 Ogos 2021, sejumlah 6,428 kes telah dicatatkan melibatkan kerugian RM41,130,382.67.

“Dalam usaha untuk mencegah kes-kes sebegini dari terus berlaku, pihak polis menggesa orang ramai untuk lebih berhati-hatu dan sentiasa berwaspada apabila membuat pembelian barangan secara atas talian.

“Orang ramai digalakkan untuk membuat semakan pengesahan akaun bank, dan talian telefon melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengenalpasti sama ada akaun bank tersebut pernah terlibat dalam kes penipuan ataupun tidak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button