Berita UtamaIstimewa

BERJASA lancar lagu ‘Sayangi Malaysia’ sempena kemerdekaan

Angkat 3 mesej utama pupuk semangat perpaduan

BANGI, 22 Muharram 1443H, Selasa – Bagi menyuntik semangat sempena sambutan kemerdekaan negara ke-64, parti BERJASA melancarkan karya sulungnya menerusi lagu Sayangi Malaysia.

Lagu patriotik itu digubah khas dengan mengangkat tiga mesej utama yang memupuk semangat perpaduan di dalam setiap bait-bait lirik menerusi penghayatan Rukun Negara, seruan sayangi Malaysia dan memperkasa bahasa Melayu.

Ketua Wanita BERJASA Pusat, Ustazah Umi Kalsom Hussin berkata, tiga mesej utama itu selari dengan semangat kemerdekaan negara, selain turut menekankan mengenai induk peradaban dunia.

“Besar harapan kami agar bait lirik lagu ini menjadi titipan harian anak muda di watan ini.

“Satu siulan yang bukan sekadar retorik di mulut, bahkan melahirkan rasa gah dan bangga dalam diri mereka tentang kehebatan bangsa dan leluhurnya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Beliau berkata, setiap bait lirik digubah untuk menyedarkan rakyat Malaysia mengenai sejarah negara yang tidak diketahui ramai.

Bahkan, lagu itu juga sebagai pendorong kepada rakyat Malaysia supaya bersungguh-sungguh memajukan negara agar menjadi Malaysia unggul yang tinggi peradabannya serta bermaruah di masa hadapan, katanya.

“Semoga dengan semangat yang dibawa oleh lagu ini akan meresap ke dalam benak hati anak watan yang mendengar, sekali gus menggerakkan tindakan untuk mempertahankan watan agar terus merdeka,” katanya.

LIRIK LAGU: SAYANGI MALAYSIA
Asmah Z & Akmal Mustafa

Merantaulah setiap pelusuk benua

Lestari jiwa hanya milik Malaysia

Bak pepatah “hujan emas di negeri orang

Hujan batu di negeri sendiri”

Harmoninya Malaysia tercinta

Tergambar dari falsafah negara

Rukun Negara  tonggak perpaduan kita

Agama ditegak nilai murni dipelihara

KORUS:

Sayangi Malaysia

Dulu Induk peradaban dunia

Perkasa dan kaya raya

Pemimpin dan rakyatnya gagah dan wibawa 

Demi generasi masa depan 

Mari kita hayati

Rukun negara Malaysia

Serumpun bak serai, sesusun bak sirih

Tak runtuh perpaduan walau berselisih

Biduk lalu kiambang kembali bertaut

Dek cinta negara semangat perpaduan tak luput

Kerana percaya pada Tuhan kita gapai perpaduan

Setia akan Raja dan Negara segala bakti dicurahkan

Luhurnya perlembagaan mewujudkan kemakmuran

Kedaulatan undang-undang mengukuh kepatuhan

Nilai kemanusiaan telah jelas dari kesopanan dan kesusilaan

Bukan sedikit yang cintakan perpaduan

Peramah dan toleransi telah lama jadi amalan

Cubit paha kanan, yang kiri turut merasakan

Yang muda bantu yang tua

Yang kaya bantu yang papa

Melayu, Cina, India dan sebagainya tanpa mengira bangsa, budaya, agama, jantina, bahasa

Bukan sedikit jua persamaan antara kita

Bahasa Melayu bahasa untuk kita semua

Dulu jadi bahasa pengantara seantero dunia

Kini ia menyatukan kita anak-anak watan Malaysia

Lagu Sayangi Malaysia boleh didengar terus melalui saluran YouTube TV Berjasa di pautan https://youtu.be/0IAw1Pi-tNg.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button