Pendapat

Di sebalik kemerdekaan negara ke-64: Normalisasi penjajahan baru

Apa makna jika dominasi kuasa asing dan jati diri masih terpenjara

PENJAJAH British yang telah lama meninggalkan Tanah Melayu setelah merompak hasil mahsulnya tidak akan berpuashati melainkan apabila berjaya mewujudkan suatu kepimpinan yang akan meneruskan agenda merosakkan segala unsur Islam yang berpotensi untuk dominan dan didaulatkan dalam masyarakat.

Pada tahun 1908, Pentadbir Penjajah British di Tanah Melayu, R.J. Wilkinson menulis: “There can be no doubt that Muslim law would have ended by becoming the law of Malaya had not British law stepped in to check it.”

Terjemahan bebasnya: “Tidak syak lagi bahawa undang-undang Islam akan menjadi undang-undang di Tanah Melayu kalaulah tidak dengan campurtangan undang-undang Inggeris untuk menyekatnya.”

Ya, pihak empayar British mempunyai niat dan muslihat tersembunyi ketikamana mereka datang menjajah Tanah Melayu – iaitu menyekat kedaulatan dan dominasi sistem perundangan Islam (Syari’ah) di Tanah Melayu, disamping memperluaskan jajahan takluk Empayar British di seluruh dunia.

Setiap negara yang terlibat dalam peperangan Dunia Pertama dan Kedua mempunyai hasrat untuk mengukuhkan kedudukan masing-masing dari segi geo-politik dan ekonomi. Dalam banyak kes, negara-negara umat Islam menjadi ghanimah perang yang akan diagih-agihkan melalui perjanjian-perjanjian di antara pihak penakluk yang menang dan pihak yang kalah.

Secara kebetulan, banyak hasil mahsul bumi dan bekalan bahan-bahan mentah dunia banyak tersimpan di kebanyakan negara umat Islam, termasuk wilayah Melayu Nusantara. Sejarah Melaka dan Acheh adalah satu bukti kukuh akan agenda Gold, Glory and God yang dominan pada ketika itu.

Para pedagang Eropah dahulu yang bersubahat dengan pihak kerajaan dan kepimpinan Gereja mereka untuk menjarah hasil mahsul di dunia Islam tidak kekal lama di negara-negara yang mereka serang dan takluki kecuali British. Kerajaan Portugis dan Belanda, meskipun dapat “menguasai” Tanah Melayu dalam tempoh yang agak lama hanya berjaya menguasai pusat ekonomi sahaja yang terletak di Melaka dan perairan Selat Melaka.

Pendudukan Jepun, yang telah menyaksikan sejarah penyiksaan dan terorisme terhadap penduduk Tanah Melayu juga tidak bertahan lama.

Akan tetapi lain pula keadaannya bagi kerajaan British, yang menggerakkan inisiatif untuk menguasai laluan ekonomi dan bekalan bahan-bahan mentah dunia melalui campurtangan politik. Para pelajar sekolah menengah dan pengkaji sejarah kedatangan penjajah British ke Tanah Melayu akan segera menangkap percaturan politik ini dengan jelas.

[Satu catatan tepi: Indonesia juga mengalami nasib yang lebih kurang serupa dengan penjajahan Belanda ke atas negara besar itu melalui sistem Tanaman Paksa, Dasar Liberal dan kemudiannya Dasar Etika – yang kesemuanya sekadar alasan untuk menjamin kelangsungan hidup negara Belanda semata-mata].

Apakah yang telah dilakukan oleh Penjajah British di Tanah Melayu?

Muslihat Pertama

Apa yang tersirat dari kedatangan mereka ialah menghalang dan menyekat perundangan dan Syari’ah Islam dari menjadi dominan dan berdaulat!

Agenda yang tersurat sudah tentu tujuan-tujuan ekonomi dan politik. Kesempatan pertama ialah melalui campurtangan di dalam industri perlombongan bijih timah yang pada ketika itu dikuasai oleh golongan kerabat diraja. Oleh kerana penjajah British juga yang mendatangkan pekerja-pekerja lombong dari negara China (yang sebenarnya ialah kumpulan-kumpulan samseng), dua kumpulan samseng terbesar pada ketika itu iaitu Ghee Hin dan Hai San juga berperanan untuk memudahkan campurtangan dan penguasaan British di dalam industri bijih timah yang sangat kritikal bagi kepentingan British yang terlibat dalam peperangan besar di Eropah.

Fakta sejarah tidak dapat diubah. Dominasi kesultanan Melayu ke atas rakyat jelata akhirnya ditamatkan melalui perjanjian demi perjanjian antara mereka dengan pihak British. baik Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Tidak Bersekutu atau Negeri-negeri Selat … semuanya adalah bidak-bidak di papan catur yang peraturan dan sistemnya ditentukan oleh penjajah British sendiri.

Perjanjian-perjanjian yang terpaksa ditandatangani oleh Raja-raja Melayu secara efektifnya telah menghapuskan sama sekali dominasi perundangan Islam dalam kehidupan bangsa Melayu. Sedangkan sebelumnya hampir semua negeri-negeri di Tanah Melayu sudah mempunyai peruntukan undang-undang Islam sendiri.

Kuasa para Sultan telah disempitkan dalam urusan-urusan peribadi sahaja, yang melibatkan nikah cerai, undang-undang keluarga, urusan tanah dan keistimewaan Raja-raja, manakala urusan kewangan, kehakiman, ketenteraan, dasar-dasar luar, perundangan, percukaian dan seumpanya kini berada di tangan (kuasa) penjajah British.

Inilah yang difirasatkan oleh Pentadbir Penjajah British di Tanah Melayu, R.J. Wilkinson. Sejak awal kurun ke 20 lagi, beliau telah nampak potensi Islam yang akan berkembang sebagai satu kuasa politik dan perundangan hingga boleh menguasai seluruh Tanah Melayu.

Sekiranya perkara ini berlaku, “talian hayat” British secara otomatik akan terputus.
Penggantian Syari’ah dan sistem perundangan Islam dengan undang-undang British sebelum ini telah dilaksanakan di negara-negara Mesir dan Nigeria sebelum percubaan yang sama di Tanah Melayu.

Maka, hilanglah Syari’at Islam dari jantung dan nadi umat Islam, digantikan dengan sistem perundangan manusia melalui tangan-tangan penjajah British.

Muslihat Kedua

Tidak cukup dengan menghapuskan undang-undang Islam, penjajah British melanjutkan inisiatif jahat mereka dengan membangunkan infrastruktur dan sistem pendidikan yang akan meneruskan agenda mereka sekiranya mereka terpaksa keluar dari Tanah Melayu satu hari nanti.

Sistem pendidikan British adalah satu sistem yang liberal dan sekular. Maka tidak hairanlah para graduannya mempunyai pandangan hidup yang liberal dan sekular juga, setelah Islam berjaya dinyahkan sebelumnya melalui beberapa siri penjanjian yang dicaturkan oleh penjajah British.

Kesan dari puluhan tahun dominasi sistem pemerintahan British dan kurikulum pendidikannya telah melahirkan satu bangsa Melayu “anglophile” yang melayu mungkin pada nama dan warna kulit sahaja. Selain dari itu, yang mengisi fikiran, minda, hati, jiwa dan perasaan kumpulan ini ialah British pada watak, minda, nilai, falsafah dan pandangan hidup, cara berpakaian, makan minum, bersosial seumpamanya.

Lahirlah satu generasi baru bangsa Melayu penerus warisan penjajah British. Penjajah British tidak perlu risau lagi sama ada kepentingan mereka akan terjejas nanti.

Muslihat Ketiga

Hadiah Kemerdekaan

Berbeza dengan rakyat dan penduduk Indonesia, Tanah Melayu “mencapai” kemerdekaannya bukan melalui kebangkitan dan peperangan berdarah rakyat Indonesia melawan penjajah. Rakyat Indonesia telah diuji beberapa kali dengan penjajahan Belanda dan Jepun melalui peperangan menuntut kemerdekaan yang telah mengorbankan ribuan anak watannya sebelum penjajah Jepun terpaksa berundur akhirnya.

Saya tidak ingin menyusun sejarah secara kronologi Tanah Melayu mencapai “kemerdekaan”nya dari tangan British. Yang saya ingin sentuh ialah bagaimana kemerdekaan itu dicapai – iaitu secara paksaan ke atas bangsa Melayu.

Bangsa Melayu di Tanah Melayu diberi kata putus (diancam) bahawa penjajah British HANYA akan “memberikan” kemerdekaan SEKIRANYA orang-orang China yang datang dari Tanah Besar China sebagai pemastautin diberikan KERAKYATAN.

Ini sekali gus membuktikan bahawa nisbah dan peratus penduduk (“rakyat”) Cina di Tanah Melayu sangat sedikit menjelang kemerdekaan. Adapun pemimpin-pemimpin politik Cina tempatan yang dikaitkan dengan “perjuangan menuntut kemerdekaan” hanyalah mereka yang berperanan untuk menjaga kepentingan pendidikan dan ekonomi orang-orang Cina di Tanah Melayu pada ketika itu sahaja.

Keberadaan mereka sebagai warganegara Malaysia hanyalah atas ihsan orang Melayu semata-mata (dan juga dari “ugutan/ancaman” penjajah British). Ini juga satu realiti sejarah yang lebih dikenali sebagai Kontrak Sosial yang sengaja dilupakan oleh segelintir rakyat Malaysia yang ekstrimis, cauvinis dan ultra kiasu melampau.

Hari ini, peranan pemimpin-pemimpin Cina dalam apa-apa bidang sekalipun ialah bukan sekadar untuk menjamin kelangsungan dan survival orang-orang Cina dari aspek pendidikan dan ekonomi semata-mata, tetapi juga dari segi politiknya.

Bagaimana pertubuhan-pertubuhan pendidikan dan persekutuan-persekutuan ekonomi Cina menentukan arus keterlibatan orang-orang Cina dalam politik negara dan sokongan kepada mana-mana parti perlu kepada perbahasan di tempat lain pula.

Pokoknya, bangsa yang lebih sinonim dengan gerakan untuk menuntut Kemerdekaan Tanah Melayu dari penjajah British adalah orang-orang Melayu sendiri. Justeru itu, orang-orang Melayu yang beragama Islamlah yang merupakan “stakeholder” sebenar sebagai bangsa tonggak yang perlu dilibatkan dalam sebarang urusan yang berkait dengan kepentingan Islam, umat islam, bangsa Melayu dan halatuju politik negara.

Tidak dinafikan, bangsa-bangsa lain juga mempunyai peranan dan posisi masing-masing dalam kerangka politik dan pembangunan negara hari ini. Kita juga akur akan realiti semasa yang telah membawa sifir berbeza di dalam parti-parti politik sedia ada di tanahair.

Muslihat Keempat

Agenda songsang yang membarah

Pembaca mungkin akan bertanya: Lalu di manakah letaknya agenda songsang yang membarah ini?

Untuk memahami apakah agenda ini, kita perlu terlebih dahulu memahami konteks dan latarbelakang yang berlaku pada setiap insiden, peristiwa, perkembangan, berita dan kejadian yang sangat melukakan hati umat Islam dan bangsa Melayu hari ini.

Sistem liberal sekular yang diwarisi dari penjajah British inilah yang disaksikan penjelmaan dan penghayatannya di kalangan para “anglophile” pelbagai wajah ini – pemimpin-pemimpin politik, gerakan-gerakan liberal, sekular dan juga keterlibatan segelintir umat, organisasi, pertubuhan dan gerakan dari kalangan umat Islam sendiri.

Mereka inilah yang meneruskan hegemoni penjajah dengan agenda liberal, humanis, ateis, sekular, sosialis, evangelis dan apa sahaja agenda akan menyekat kemaraan perundangan dan Syari’ah Islam dari berkuasa dan berdaulat, seperti yang diungkapkan oleh R. J. Wilkinson.

Para pembaca boleh melihat sosok-sosok mereka di mana-mana – di dalam kerajaan dan kementerian, dalam parti-parti politik, gerakan-gerakan sivil, pertubuhan-pertubuhan Islam, kumpulan-kumpulan minoriti, dalam industri media dan hiburan, kewangan, sistem pendidikan, institusi-instuitusi “hak asasi”, pusat-pusat kajian dan penyelidikan, ahli akademik dan juga tokoh-tokoh “agamawan” sendiri.

Semuanya secara sedar atau tidak sedar sedang bergabung tenaga dan saling melengkapi sudut-sudut masing-masing untuk mempastikan supaya agenda Islam dan sistem perundangan Islam tidak menjadi dominan atau didaulatkan oleh umat Islam.

Sekiranya perlu, mereka akan memperundangkan (Legalise) agenda mereka – melalui pindaan, pemansuhan peruntukan undang-undang sedia ada atau memperkenalkan perundangan baru.

Sekiranya kehendak politik mereka perlu dijayakan dengan memenangkan kehendak tersebut di atas pertimbangan keadilan dan “Rule of Law”, maka itulah yang akan dilakukan.

Sekiranya perancangan mereka untuk “merobohkan” imej Islam akan berjaya dengan menyekat bantuan kewangan atau memfitnah atau membuat dasar-dasar tertentu, itulah yang akan dilaksanakan.

Sekiranya umat Islam perlu disibukkan atau dilalaikan dengan dengan isu-isu remeh, hiburan yang melalaikan dan menyesatkan, atau dihilangkan unsur-unsur kekuatan dan kesepakatan mereka, maka segala perancangan dan inisiatif akan digerakkan untuk menghancurkan identiti, jatidiri dan kekuatan umat Islam.

Muslihat Kelima

Normalisasi Terhadap Penjajahan

Perkembangan terakhir yang berlaku di negara-negara Arab khususnya yang berlaku di Palestin adalah salah satu manifestasi dari kejayaan terbesar Normalisasi terhadap penjajahan yang ditunjangi oleh Gerakan Zi*nis Antarabangsa. Muslihat Kelima ini pada hakikatnya adalah tragedy terbesar yang pernah menimpa umat Islam hari ini.

Sejak beberapa tahun, satu demi satu negara-negara Arab telah mencampakkan pendirian tegas untuk tidak mengiktiraf kewujudan “negara” Israel lalu tanpa mempedulikan perasaan dan sensitiviti umat Islam dan rakyat negara masing-masing. Bukan setakat menjadi “kuli” dan “khadam” baru kepada kepentingan Israel, negara-negara ini bahkan telah mengkhianati perjuangan umat Islam Palestin yang telah melawan tentera-tentera penjajah Yahudi dan agenda Zionis ini selama puluhan tahun.

Apabila Amerika Syarikat menarik balik status “pengganas” ke atas negara-negara yang mengiktiraf Israel dan mula menghapuskan sekatan ekonomi ke atas negara-negara tersebut, maka kita dapat segera faham bahawa penjajahan dan normalisasi merupakan sepasang kembar yang tidak dapat dipisahkan.

Jangan lupa, pihak British merupakan kuasa besar yang membantu mengujudkan “negara” Israel dan mencetuskan gerakan untuk dunia Islam membebaskan diri dari kekuasaan khilafah Turki Othmaniyah menjelang Perang Dunia Pertama.

Ketikamana kita menyaksikan merebaknya dan berleluasanya gerakan liberal, penseksualan wanita, gerakan feminis dan lantangnya seruan atheisma dan kemurtadan di negara-negara yang sama, kita tidak dapat mengelak dari membuat kesimpulan bahawa natijah dan normalisasi ini tidak akan membawa kebaikan atau keuntungan kepada rakyat dan negara-negara tersebut.

Inilah varian baru kepada virus penjajahan, yang kerosakan dan mudaratnya tidak dapat diubati dengan puluhan jenama vaksin sekalipun.

Mangsa pertama kepada varian baru ini ialah lumpuhnya sistem pertahanan diri manusia terhadap serangan untuk membelenggu kemerdekaan jiwa, untuk memperhambakan pemikiran dan meranapkan harapan dan cita-cita anak watan.

Ini kerana umat dan bangsa yang terbelenggu tidak akan melihat siapa gerangan musuh mereka disebabkan kelumpuhan sistem pertahanan telah menggagalkan kemampuan mereka untuk bangkit kembali dan memerdekakan diri mereka.

“Virus” ini kalau tidak disedari, didiognosa dan dirawat sejak awal akan merebak ke seluruh anggota tubuh badan dan menamatkan riwayat pemilik tubuh yang beridentitikan Islam.

Justeru itulah kita dapati perjuangan rakyat Palestin yang memakan puluhan tahun adalah satu pertembungan antara dua sistem nilai – yang pertama diwakili oleh keangkuhan penjajah dan kedua diwakili oleh umat yang enggan membenarkan penjajahan itu bertapak di dalam jiwa mereka.

Orang-orang yang telah meletakkan senjata ialah mereka yang telah membiarkan diri dan jiwa mereka dibelenggu dan diperhambakan.

Tidak ada ertinya kemerdekaan negara dari penjajahan dan dominasi kuasa asing sekiranya jiwa dan jati diri masih terpenjara.

Apa yang berlaku di Palestin dan pengkhianatan serta normalisasi sebahagian negara Arab/Islam sudah sewajarnya mengingatkan umat Islam dan bangsa Melayu bahawa kemerdekaan hakiki bermula dari dalam diri dan jiwa.

Selagimana mana jiwa dan jati diri bangsa Melayu dan umat Islam tidak di”merdeka”kan, maka selagi itulah mereka tetap terbelenggu dan ter“jajah”, meskipun para kolonialis dan penjajah telah lama meninggalkan tanahair mereka!

Membangkitkan kesedaran umat dan bangsa dari belenggu-belenggu hawa nafsu, keegoan, ketakutan, keangkuhan, kemalasan, kejahilan, kelemahan, putus asa dan hilang keyakinan adalah satu perjuangan untuk mencapai “Kemerdekaan Hakiki” yang sangat berbaloi untuk dicurahkan sehingga kita semua kembali ke pangkuan Allah, Sang Pencipta.

Mohd Luttfi Abdul Khalid
Ikatan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (iPeguam)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button