Jangan biarkan budaya toksik di media sosial cemar masyarakat
Sentiasa ingatkan rakyat etika komunikasi yang betul

ALHAMDULILLAH berkat kesungguhan, keikhlasan, kesabaran dan kecekalan pejuang-pejuang kemerdekaan selama bertahun-tahun, negara kita berjaya dibebaskan daripada penjajahan British pada 31 Ogos 1957 bersamaan 5 Safar 1377 Hijrah.
Pejuang-pejuang kemerdekaan ini terdiri daripada golongan agamawan, raja-raja, guru-guru, dan rakyat biasa yang cintakan negara dan inginkan keamanan. Rakyat yang memulakan perjuangan menentang penjajahan.
Negara kita Malaysia telah merdeka selama 64 tahun. Kita telah mencapai kemajuan yang setanding negara- negara membangun lain. Banyak kemajuan kita gapai dalam pelbagai bidang termasuk kesihatan, perindustrian, pendidikan, perdagangan dan lain-lain. Seiring dengan ini, media-media elektronik, cetak dan peranti memainkan peranan penting dalam membantu mencapai kejayaan-kejayaan ini.
Hari ini, media sosial yang sering digunakan oleh golongan muda dan pertengahan merupakan alat atau senjata yang boleh membawa kebaikan, bahkan keburukan. Akta-akta kerajaan yang merangkumi kebebasan media cetak dan elektronik telah digunakan seluas-luasnya oleh semua pengguna, tanpa menghiraukan akibat buruk yang bakal berlaku.
Jika dulu kita jarang mendengar tentang sebaran berita-berita palsu, scam, fitnah, perceraian melalui media sosial, penderhakaan terhadap Agong dan Raja-Raja, kini berita-berita ini sudah seperti lumrah pengguna media sosial. Sampai ada yang jatuhkan talak melalui media sosial.
Semuanya demi meraih perhatian orang ramai, mendapat likes dan kongsian, publisiti murahan tanpa mengeluarkan duit yang banyak serta menjadi terkenal dalam sekelip mata. Seolah-olah itu adalah impian dan cita-cita mereka hidup di dunia ini. Setiap hari di Facebook, Instagram dan Twitter ada saja kisah individu mengabaikan tanggungjawab terhadap diri, keluarga dan masyarakat.
Saya melihat ini sebagai suatu tabiat, fenomena dan perbuatan yang tidak sihat, melalaikan, tidak bermoral, kurang beretika serta sebagai satu jenayah komunikasi dan multimedia.
Apatah lagi kita masih berperang dengan pelbagai isu yang melanda negara termasuk perbalahan politik, wabak penyakit COVID-19 dan ekonomi yang tidak stabil.
Sebagai orang Islam dan Melayu yang beradab, mempunyai akidah yang sejahtera dan akhlak yang baik, perbuatan-perbuatan seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Kita sepatutnya mengambil neraca Allah sebagai panduan dan bukannya neraca manusia yang jelas tidak mendatangkan keuntungan di akhirat nanti.
Saya berpendapat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atau Kementerian Komunikasi dan Multimedia perlu mengeluarkan akta yang tegas untuk media sosial dan mengenakan denda yang tinggi serta hukuman penjara yang agak lama bergantung kepada seriusnya kesalahan.
Ini adalah untuk mengelakkan jenayah komunikasi dan multimedia ini daripada terus berleluasa. Rakyat perlu sentiasa diingatkan tentang etika komunikasi yang betul, penggunaan media sosial untuk sebarkan informasi penting, sebar kebaikan dan nasihat-nasihat berguna. Sebaik mungkin elakkan menyebarkan info tidak bermanfaat.
Saya berharap sempena sambutan kemerdekaan hari ini, kita gunakan media sosial sebaik-baiknya, kurangkan berbuat dosa dengan umpat mengumpat, fitnah memfitnah, menipu dan mengaibkan orang.
Sebaliknya gunakan media sosial untuk meraih pahala Allah berlipat ganda dengan menyebarkan berita-berita benar dan adil, kenangi perjuangan para pejuang, bersyukur atas nikmat kemerdekaan.
Kita boleh ingatkan tentang keburukan penjajahan, sebarkan nasihat berguna, sebarkan penderitaan orang-orang Islam seperti Palestin, Syria dan lain-lain, yang boleh mendatangkan keamanan dan kestabilan negara.
Moga kita sentiasa termasuk dalam golongan yang mencari reda Allah, menjadi individu yang membantu agama Allah, dan mencontohi Baginda Rasulullah SAW dalam setiap aspek kehidupan.
Sabda Rasullullah SAW yang bermaksud:
“Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Firman Allah dalam Surah Al Asr ayat 1-3 yang bermaksud,
“Demi masa,
“Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian,
“Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar”
Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-64
Dr Norzila Baharin
Pengerusi & Ahli Lembaga Pengarah Media Isma Sdn Bhd