Berita Utama

Jangan terpengaruh ajaran sesat

Mohon tindakan segera elak ramai lagi terpesong

BANGI, 22 Muharram 1443H, Selasa – Umat Islam dinasihatkan untuk tidak mudah terpedaya dan terpengaruh dengan sebarang ajaran sesat di negara ini.

Ini susulan pendedahan doktrin fahaman ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT), dibawa seorang wanita berusia 39 tahun dengan menggunakan gelaran Sittah Annur.

Media tempatan sebelum ini melaporkan, wanita itu mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah dan memimpin pasukannya bagi mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh.

Individu berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook, YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai dakwaan dan ramalan pelik.

Selain bercerita mengenai peperangan itu, Sittah Annur turut mendakwa dirinya beryaqazah dengan malaikat dan bertemu secara jaga (sedar) dengan Nabi Muhammad ﷺ serta merangka pelan keluar bersama pengikutnya jika peperangan berlaku.

Sumber keselamatan sebelum ini mendedahkan kumpulan PMYT pimpinan wanita itu kini diikuti sehingga 3,000 pengikut – yang bukan sahaja terdiri daripada orang kebanyakan sebaliknya ada golongan profesional seperti doktor, jurutera, pensyarah dan guru.

Susulan itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat), Izzat Johari meminta umat Islam berwaspada dengan gerakan berkenaan.

“Berhati-hati dengan gerakan mimpi ini.

“Jangan terperdaya dan mudah terpengaruh,” katanya dalam kenyataan di akaun Facebook hari ini.

Pada masa sama, beliau memohon Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bertindak segera berhubung isu itu.

Tindakan tersebut penting bagi mengelakkan lebih ramai lagi terpesong malah terikut dengan gerakan berkenaan.

Terbaharu, Menteri Agama, Senator Idris Ahmad berkata, isu ajaran sesat memang sudah ada dalam seksyen tertentu untuk penyelidikan bagi menanganinya.

“Saya pasti perkara berkaitan ajaran sesat kita tidak kompromi.

“Kita kena selamatkan akidah orang. Pendekatan kita adalah untuk kita nak selamatkan mereka (pengikut ajaran sesat), kaunseling mereka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button