Berita Utama

Kongres Nasional 2021 kumpul anak muda rangka dasar masa hadapan negara

Lebih 200 pemikir mewakili enam kluster dibimbing mentor dan pakar

KUALA LUMPUR, 22 Muharram 1443H, Selasa – Inisiatif Tun Perak dengan kerjasama sembilan gerakan belia menganjurkan Kongres Nasional 2021 selama 17 hari bermula hari ini sehingga 16 September depan.

Kongres ini merupakan sebuah platform untuk menyuarakan pendapat dan rangka kerja dari kumpulan belia intelektual kepada pihak yang bertanggungjawab.

Lebih 200 lebih pemikir muda telah terpilih mewakili enam kluster yang diusulkan iaitu pendidikan, politik, sosial, teknologi, undang-undang dan ekonomi di bawah bimbingan mentor dan pakar dalam pelbagai bidang dengan tujuan memperkukuh pemahaman perwakilan mengenai isu-isu nasional.

Difahamkan, para perwakilan telah mengikuti beberapa siri mini program yang berlangsung sebelum hari kemuncak.

Antara program tersebut adalah Pentas Suara Nasional, Debat Nasional dan Idea Watan Nasional yang mengasah kemahiran penyampaian yang berkesan – dibimbing oleh pakar dan tokoh negarawan – antaranya Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz dan Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar.

Timbalan Pengarah Kongres Nasional 2021, Sakinah Md Amin berkata, Kongres Nasional 2021 membabitkan penasihat-penasihat pakar dalam sesuatu bidang yang membantu anak muda mengeluarkan idea yang membentuk kerangka ideologi dan jati diri sebagai negara berdaulat Malaysia.

“Anak-anak muda pada masa kini semakin cakna dan ghairah untuk terlibat sekali dalam merangka masa depan negara yang mana di lihat sangat sihat dan memberangsangkan,” katanya dalam kenyataan media.

Kongres Nasional 2021 akan memulakan persidangan pada 31 Ogos secara dalam talian dan disiarkan secara langsung di platform media sosial untuk tontonan ramai.

Ucaptama majlis perasmian akan disempurnakan oleh mantan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button