Berita Utama

PH Selangor wajib tanggungjawab isu nyahwarta separuh hutan simpan

Sudah hilang pertimbangan benarkan hutan dijarah demi pembangunan kapitalis?

BANGI, 22 Muharram 1443H, Selasa – Kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) Selangor wajib bertanggungjawab terhadap pengakuan menyahwarta 54 peratus hutan simpan Kuala Langat Utara pada Mei lalu.

Ketua Penerangan Parti BERJASA, Hazwan Mohamad berkata, penyahwartaan hutan itu telah menyebabkan 536.7 hektar kawasan hutan dieksploitasi nafsu serakah pembangunan.

Apatah lagi, kawasan hutan itu adalah hutan paya gambut yang jarang ditemui dan menjadi habitat semulajadi haiwan yang diancam kepupusan.

“Hutan simpan ini juga mempunyai keunikan biodiversiti dan fungsi ekosistem, sistem hidrologi Sungai Langat, pengawalan banjir dan kawasan tadahan air penting untuk penduduk sekitar Banting dan Kuala Langat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau malah menyelar tindakan kerajaan negeri tidak selari dengan keputusan dibuat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada November lalu, yang sebulat suara meluluskan usul agar rancangan penyahwartaan hutan simpan itu dibatalkan.

“Bagaimanapun ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong menyatakan bahawa keputusan DUN itu tidak mengikat dan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri boleh mengatasi keputusan tersebut.

“Apakah kerajaan negeri sudah hilang pertimbangan dengan membenarkan hutan simpan yang amat penting ini dijarah demi projek pembangunan kapitalis?

“Apakah justifikasi utama kerajaan negeri menafikan keputusan sebulat suara Ahli DUN yang bernaung di bawah Sultan Selangor yang telah pun menolak penyahwartaan ini? Rakyat memerlukan jawapan tuntas,” katanya.

Semalam, DUN Selangor diberitahu bahawa separuh hutan simpan Kuala Langat Utara telah dinyahwartakan sejak keputusan itu dibuat pada Mei lalu.

Exco Alam Sekitar dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor telah menyahwartakan 536.7 hektar – daripada rancangan asal seluas 930.9 hektar – selepas mempertimbangkan bantahan awam.

Tanah berkenaan akan diberikan kepada syarikat swasta Gabungan Indah Sdn Bhd untuk tujuan pembangunan.

Pendedahan itu telah menimbulkan ketegangan dengan beberapa pihak mempersoalkan kewajaran menyahwartakan tanah hutan simpan berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button