Berita Utama

Akta Dana Politik: Anwar gagal tunai janji, desak beri tekanan pada kerajaan

Alasan birokrasi diperguna untuk lewatkan akta dibawa ke Parlimen

BANGI, 17 Zulkaedah 1444H, Selasa – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih gagal menunaikan janji mengenai Akta Pendanaan Politik.

Dakwanya, jawapan kerajaan Pakatan Harapan (PH)-UMNO mengenai perkara itu menunjukkan alasan birokrasi dipergunakan semata-mata bagi melewatkan akta tersebut dibawa ke Parlimen.

“Saya mencadangkan supaya peruntukan Ahli Parlimen dimasukkan dalam Akta Pendanaan Politik supaya tidak berlaku lagi situasi kerajaan menafikan hak rakyat mendapat bantuan seperti yang dilakukan oleh Kerajaan PH-UMNO hari ini.

“Tetapi Perdana Menteri lari dari menjawab dan langsung tidak menyentuh soalan saya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, akta itu adalah rang undang-undang (RUU) yang paling mudah untuk di bawa ke Dewan Rakyat kerana draf dan kajian mengenainya telah sedia ada serta dijalankan.

Bahkan kerajaan hanya perlu tambah satu klausa mengenai peruntukan tetap Parlimen sahaja.

“Kerajaan mengatakan perlu masa untuk libat urus dengan semua parti kerana kini kita ada gabungan baru.

“Tetapi parti-parti yang membentuk gabungan baru adalah parti lama dan libat urus telahpun dijalankan dengan semua parti.

“Kenapa pula pembentukan gabungan baru oleh parti-parti lama dijadikan ‘excuse’ untuk melewatkan akta ini diperkenalkan? Libat urus dah pun dijalankan,” katanya.

Justeru, Wan Saiful beharap aktivis-aktivis masyarakat sivil yang sekian lama memperjuangkan regulasi pendanaan politik sedar bahawa Anwar Ibrahim sudah ‘terlupa’ agenda reformasi beliau.

“DNA reformasi tiada dalam kerajaan ini. saya minta semua pihak, terutama NGO-NGO yang sekian lama memperjuangkan akta ini, agar memberi tekanan lebih kuat kepada kerajaan agar matlamat murni kita tercapai.

“Tanpa tekanan berterusan, Anwar akan terus terlupa janji-janjinya,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Akta Pendanaan Politik sepatutnya dibentang bersama Akta Lompat Parti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu supaya ia dapat dilaksanakan secara bersama.

Namun katanya, perkara itu tidak dibuat kerana kebanyakan parti merasakan akta berkaitan lompat parti, perlu diutamakan terlebih dahulu atas kesedaran tidak mahu ahli Parlimen bertukar parti selepas pilihan raya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button