Dunia

Omicron masih varian membimbangkan: WHO

Merebak dengan ketara lebih cepat berbanding varian Delta

ISTANBUL, 20 Jamadilawal 1443H, Sabtu – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengulangi amaran bahawa varian baharu COVID-19, Omicron merebak dengan ketara lebih cepat daripada varian Delta.

Menerusi kemas kini Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, bukti yang konsisten menunjukkan bahawa Omicron mempunyai kelebihan pertumbuhan yang besar berbanding Delta.

“Ia merebak dengan ketara lebih cepat daripada varian Delta di negara mempunyai transmisi komuniti yang didokumenkan.

“Anggaran kadar pertumbuhan di Afrika Selatan kini menurun, didorong sebahagian besarnya oleh kadar penurunan di wilayah Gauteng, termasuk di Johannesburg,” kata WHO.

Menurut WHO, data mengenai keterukan klinikal pesakit yang dijangkiti Omicron semakin meningkat namun masih terhad.

“Data awal dari Afrika Selatan, United Kingdom dan Denmark mencadangkan pengurangan risiko kemasukan hospital berbanding varian Delta.

“Bagaimanapun, lebih banyak data diperlukan untuk memahami bagaimana penanda aras klinikal – seperti penggunaan oksigen, pengudaraan mekanikal dan kematian – dikaitkan dengan Omicron,” katanya.

Pada 26 November, WHO menetapkan varian B.1.1.529 sebagai varian membimbangkan yang dinamakan sebagai Omicron.

“Omicron adalah varian yang sangat berbeza dengan bilangan mutasi yang tinggi, termasuk 26-32 mutasi dalam protein spike, beberapa daripadanya mungkin dikaitkan dengan potensi imun humoral dan kebolehtransmisi yang lebih tinggi,” menurut WHO.

Setakat 22 Disember, Omicron telah dikenal pasti di 110 negara. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button