Berita Utama

SPRM siasat dakwaan rasuah doktor untuk sijil vaksinasi tanpa suntikan

Perbuatan jejas reputasi, calar imej profession pengamal perubatan

BANGI, 22 Muharram 1443H, Selasa – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum menerima sebarang aduan berkaitan kegiatan merasuah doktor atau mana-mana pihak bagi mendapatkan sijil vaksinasi tanpa suntikan vaksin.

Bagaimanapun, suruhanjaya itu akan menyiasat dan melakukan risikan ke lokasi-lokasi yang disyaki melakukan perbuatan penyelewengan berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya memandang serius terhadap dakwaan orang ramai berkaitan kegiatan itu.

“Perbuatan ini bukan saja melibatkan isu rasuah, tetapi ia menjejaskan reputasi profession pengamal perubatan sekali gus mencalarkan imej mereka sekiranya perkara itu benar-benar berlaku.

“Oleh itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku itu boleh menghubungi SPRM di talian hotline 1-800-88-6000 atau portal aduan rasuah di portaladuan.sprm.gov.my,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, kerap tular di media sosial beberapa tangkap layar yang mendakwa tindakan individu tertentu sanggup membayar sejumlah wang kepada mana-mana doktor yang boleh mengeluarkan sijil vaksinasi tanpa perlu mengambil suntikan.

Perbuatan itu sekali gus mencetuskan kemarahan dan kebimbangan pengguna maya sekiranya benar wujud pengeluaran sijil vaksinasi tanpa suntikan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button