Taliban rai kemenangan selepas tentera AS keluar Afghanistan
Penerbangan terakhir dikawal ketat bimbang cetus serangan

KABUL, 22 Muharram 1443H, Selasa – Kumpulan Taliban melepaskan tembakan ke udara bagi meraikan kemenangan ketika Amerika Syarikat (AS) selesai mengeluarkan pasukan tenteranya dari Afghanistan.
Ketua Komander Pusat AS, Jeneral Marinir Frank McKenzie mengumumkan penarikan tentera AS dalam taklimat berita Pentagon semalam.
Tindakan itu selepas pasukan terakhir dihantar untuk memindahkan warga AS dan Afghanistan keluar dari Kabul susulan kembalinya Taliban menguasai negara.
“Saya mengumumkan selesainya pengunduran kami dari Afghanistan dan berakhirnya misi ketenteraan untuk memindahkan warga AS.
“Kami tidak mengeluarkan semua orang yang kami mahu bawa keluar.
“Namun saya fikir jika kita tinggal 10 hari lagi, kita tidak akan mengeluarkan semuanya. Dan masih ada yang kecewa. Ini adalah situasi yang sukar,” katanya.
Penerbangan terakhir, pengangkutan tentera C-17 yang besar, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai seminit sebelum tengah malam waktu Kabul, kata McKenzie.
Penerbangan terakhir berlaku dalam keadaan keselamatan yang tinggi susulan dua serangan pada operasi pemindahan dua minggu oleh Gabungan Negara Islam-Khorasan (ISKP) – salah satu serangan bom bunuh diri yang mengorbankan sekurang-kurangnya 175 orang, termasuk 13 tentera AS.
Sebelum ini Presiden AS, Joe Biden menetapkan tarikh akhir 31 Ogos untuk penarikan tentera. – Agensi