Artikel Khas

Utamakan politik kenegaraan jauh melangkaui kepartian

Sistem demokrasi perlu dimodifikasi ikut konteks watan dan peredaran zaman

PERTAMA sekali, apabila saya sebut mengenai politik kenegaraan, tidaklah saya bermaksud untuk mengabaikan politik Islam. Malah, politik Islam menuntut kita membina negara sehingga menjadi tamadun yang mendominasi.

Apatahlagi apabila Perlembagaan Persekutuan (Perkara 3) sendiri menyebut bahawa Islam sebagai agama Persekutuan, yakni negara. Dari sinilah kita perlu jadikan asas undang-undang untuk pembinaan negara.

Tarikh 31 Ogos 1957 merupakan simbolik peralihan kuasa politik negara dari tangan British kepada anak watan negara ini. Namun, ‘framework’ yang British tinggalkan masih ada, iaitu sistem demokrasi.

Saya sudah banyak kali mengulas tentang sistem demokrasi, terutamanya sistem demokrasi Malaysia. Secara umumnya, saya menerima sistem demokrasi tetapi perlu adanya modifikasi mengikut konteks watan dan peredaran zaman. Bukannya terlalu totok dengan sistem ini.

Masalah kita secara umumnya setelah lebih 60 tahun mengamalkan sistem ini ialah terlalu taksub dengannya. Hasilnya, timbullah amalan politik kepartian yang melampau melebihi kemaslahatan kenegaraan itu sendiri. Tidak kiralah, rakyat mahupun pemimpin; ramai sudah dijangkiti ‘penyakit’ ini.

Lihatlah bagaimana prinsip agama, bangsa dan negara digadai demi kepentingan kepartian. Sepanjang lebih 60 tahun ini, petik sahaja mana-mana tahun. Pasti ada peristiwanya; baik kerajaan, pembangkang mahupun penyokong-penyokong (rakyat).

Tidak usah pergi jauh pun, lihat sahaja tahun ini. 2 minggu politik negara bergolak tatkala rakyat sedang tenat menghadapi pandemik. Semuanya berpunca kerana pergaduhan antara kem-kem parti politik. Akhirnya, tiada apa sangat pun yang berubah.

Ketika itu, jangankan jawatan di kementerian tetapi jawatan-jawatan GLC, agensi-agensi dan pelbagai lagi diperlakukan seperti barang mainan yang boleh dicampak-campak ke tepi sahaja. Semuanya atas semangat kepartian padahal awalnya dulu kata jawatan tersebut adalah demi berkhidmat kepada negara.

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ini, marilah kita berfikir sejenak. Apakah semangat cintakan negara kita sudah jatuh di belakang semangat cintakan parti atau pemimpin masing-masing?

Jika kita mahu bangunkan sebuah peradaban yang mendominasi segenap aspek kemajuan dan dipandang tinggi dunia sebagaimana yang dituntut oleh Islam serta seperti yang dibuktikan oleh generasi terdahulu, maka perbetulkanlah pemikiran kita tentang politik.

Utamakanlah politik kenegaraan jauh melebihi politik kepartian.

Wallahu’alam

Haji Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button