Dunia

Guna dron bantu pesakit COVID-19 kuarantin di Makassar

Pernah hantar ubat 25 kali sehari ketika kemuncak wabak pada Julai

MAKASSAR, 23 Muharram 1443H, Rabu – Sekumpulan peminat dron di Indonesia menggunakan kemahiran mereka membantu menawarkan perkhidmatan penghantaran ubat dan makanan kepada pesakit COVID-19 yang menjalani kuarantin di rumah. 

Dengan kemudahan lima buah dron, pasukan yang dianggotai tujuh orang itu menawarkan perkhidmatan penghantaran tanpa sentuhan sepenuh masa di Makassar, wilayah Sulawesi Selatan sejak awal Julai lalu.

Pengasas dan penyelaras ‘Makassar Recover Drone Medic’, Muhammad Dasysyara Dahyar berkata, pihaknya bekerjasama dengan pasukan petugas coronavirus tempatan untuk menghantar ubat sekurang-kurangnya lima kali sehari.

Katanya, pasukan itu pernah membuat sehingga 25 kali penghantaran dalam satu hari ketika wilayah itu berada di kemuncak wabak pada Julai lalu.

Pengguna perkhidmatan, Hartati bersama keluarga – antara pesakit yang dijangkiti COVID-19 dan sedang menjalani kuarantin di rumah – menyambut baik dengan perkhidmatan inovatif itu. 

“Saya rasa ubat yang diterima daripada perkhidmatan penghantaran dron lebih steril tanpa perlu berhubung langsung ketika menerima barang,” katanya. 

Difahamkan, 80 peratus penduduk daerah di Makassar disahkan positif COVID-19. Malah, Indonesia juga antara salah satu negara yang teruk terjejas wabak di Asia. 

Sementara itu, Datuk Bandar Makassar, Mohamad Ramdhan Pomato berkata, pihak berkuasa merancang memperluas penggunaan dron ke pulau-pulau berdekatan dan menyediakan penghantaran kepada sekitar 800 individu yang kuarantin di sebuah kapal berlabuh di wilayah itu.

“Jangkauan dron sekitar tujuh kilometer, jadi mungkin boleh sampai ke pulau-pulau berdekatan,” katanya.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button