Jururawat Islam Singapura teruja dapat bertudung tutup aurat
Rata-rata tidak sabar menunggu detik November depan

SINGAPURA, 23 Muharram 1443H, Rabu – Jururawat wanita Islam di Singapura meluahkan rasa teruja selepas kerajaan membenarkan petugas kesihatan dalam sektor awam di negara itu memakai tudung sepanjang bertugas bersama pakaian seragam mulai November depan.
Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri, Lee Hsien Loon ketika menyampaikan ucapan sempena Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) 2021, 30 Ogos lalu.
Seorang jururawat wanita yang bertugas di Hospital Umum Singapura yang hanya mahu dikenali sebagai Wati melahirkan rasa syukur dengan pengumuman berkenaan.
“Sudah lama kami memohon perkara ini, saya kini berasa lega dan bersyukur sehingga menitiskan air mata selepas mendengar berita gembira itu,” katanya seperti dipetik channelnewsasia.com.
Wati yang telah berkhidmat selama 16 tahun berkata, dia tidak pernah menjangkakan keputusan kerajaan untuk membenarkan petugas menyarung tudung ketika bertugas.
“Saya sebelum ini terpaksa membuka tudung ketika bertugas walaupun dalam perjalanan ke tempat kerja saya menyarung tudung dan memakai semula selepas tamat waktu bertugas,” katanya lagi.
Sementara itu, seorang lagi jururawat yang bertugas di hospital swasta, Aishah Sulaiman turut senada apabila teruja dengan keputusan kerajaaan dan menyifatkan bukan halangan kepada dirinya untuk menjalankan tanggungjawab walaupun mengenakan tudung.
“Ini bukan halangan bagi saya untuk menjalankan tugas namun dengan dapat memakai tudung, malah akan menjadikannya lebih mudah,” kata wanita berusia 33 tahun itu.
Aishah berkata, dia yakin ramai jururawat Islam di negara ini yang teruja dan tidak sabar menunggu detik berkenaan untuk mengenakan tudung ketika bertugas. – Agensi