Berita Utama

Kenapa perlu ‘mangsakan’ hutan simpan Kuala Langat demi pembangunan?

Apakah ada ‘deal’ yang cuba disorokkan kerajaan PH Selangor?

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 23 Muharram 1443H, Rabu – Kenapa hutan simpan Kuala Langat Utara menjadi ‘mangsa’, sedangkan banyak tanah-tanah lain di Selangor yang boleh digunakan untuk tujuan pembangunan.

Persoalan itu dibangkitkan Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya terhadap pengakuan kerajaan negeri Selangor menyahwarta 54 peratus hutan simpan berkenaan.

Isnin lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu bahawa separuh hutan simpan Kuala Langat Utara telah dinyahwartakan sejak keputusan itu dibuat pada Mei lepas.

Exco Alam Sekitar dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor telah menyahwartakan 536.7 hektar – daripada rancangan asal seluas 930.9 hektar – selepas mempertimbangkan bantahan awam.

Tanah berkenaan akan diberikan kepada syarikat swasta Gabungan Indah Sdn Bhd untuk tujuan pembangunan.

Mengulas perkara itu, Haji Aminuddin menyifatkan keputusan kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) sebagai tidak wajar memandangkan banyak implikasi yang boleh berlaku, khususnya dari segi alam sekitar dan rizab tanah-tanah hutan simpan semakin terhakis.

“Walhal, kita rasa banyak lagi tanah-tanah di Selangor yang boleh diambil untuk pembangunan.

“Konsep pembangunan lestari ini seharusnya merangkumi semua, bukan hanya membangunkan bangunan batu tanpa ada ekosistem yang menjamin kelestarian alam sekitar kita ini,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau bimbang, tindakan ‘meragut’ kelestarian alam semulajadi negeri akan memberi implikasi banjir kilat dan tanah runtuh seperti yang berlaku di Kedah serta Cameron Highland di Pahang.

Bukan hanya ekosistem terjejas, malah habitat hidupan liar di hutan simpan itu juga berisiko terancam disebabkan kerakusan pembangunan, katanya.

“Pada saya, konsep pembangunan lestari perlu ada kerana ia bukan hanya pembangunan dari segi fizikal tetapi juga alam sekitar dapat dibangunkan bersama.

“Atau apakah ada ‘deal’ yang cuba disorokkan? Jika ada salah guna atau unsur rasuah, maka ia perlu disiasat dan kerajaan negeri tak boleh tunduk kepada pemaju hanya sekadar atas pembangunan semata-mata,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button