Berita Utama

Politik Melayu akan terus lemah selagi agenda parti jadi keutamaan

Ubah minda dan kembali berusaha bangunkan negara, bantu rakyat

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 23 Muharram 1443H, Rabu – Politik Melayu akan terus lemah dan tak akan berubah selagi ahli politik tidak matang serta terus mengekalkan agenda politik berbanding menguruskan negara.

Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Azmi Hassan melihat senario politik hari ini tidak berubah dan semakin terumbang ambing berpunca daripada sikap ahli politik itu sendiri.

“Senario ini tidak berubah sebelum dan selepas pandemik, orang politik hari ini dilihat masih tidak matang mereka lebih mengutamakan agenda politik berbanding rakyat dan negara.

“Selagi agenda politik diutamakan kita tidak akan berjaya, negara akan terkebelakang dan kita hanya akan ditakuk lama,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Prof Azmi juga menyifatkan rakyat hari ini sudah banyak berkorban dan sangat bersabar dengan keadaan politik di negara ini walaupun dalam keterpaksaan.

“Rakyat banyak bersabar walaupun terpaksa tukar kerajaan dalam keadaan getir berdepan pandemik COVID-19.

“Namun orang politik pula tidak melihat perkara ini sebagai sesuatu yang serius, bersikap seperti biasa dan kekal dengan agenda mereka yang menampakkan golongan itu tidak berubah dan kekal ditahap lama.

“Keadaan jelas menampakkan ahli politik kita masih belum matang dan sekali gus memberi kesan selepas pasca pandemik COVID-19,” ujarnya.

Sehubungan itu, Prof Azmi menyeru supaya ahli politik perlu berubah demi masa depan negara dan rakyat.

“Jangan pentingkan agenda politik semata-mata sahaja sebaliknya ubah minda dan kembali berusaha bangunkan negara dan membantu rakyat,” katanya.

Ditanya mengenai persepsi orang muda terhadap politik, Prof Azmi menyifatkan pergolakan dalaman politik adalah punca orang muda tidak mahu ‘masuk campur’ dengan dunia politik hari ini.

“Konflik politik hari ini memberi kesan besar kepada anak muda untuk tidak menyertai politik dan keadaan ini akan merugikan kita semua.

“Sepatutnya orang muda perlu ‘dibelai’ untuk diberi peluang pada masa akan datang,” katanya.

Beliau dalam masa sama menjelaskan golongan muda perlu diketengahkan termasuk dalam penyertaan dalam Kabinet baru-baru ini.

“Jika orang lama tidak mahu berundur dan memberi peluang kepada orang muda, sampai bila orang muda mahu menunggu, jika dibiarkan golongan itu akan muak dan negara kita ketandusan pemimpin yang muda dan lebih berinspirasi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button