Berita Utama

Undi 18 perlu segera dilaksana untuk tambah baik sistem demokrasi

Usaha lambatkan pelaksanaan cabul hak dijamin Perlembagaan?

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 23 Muharram 1443H, Rabu – Pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun (Undi 18) perlu dilaksanakan segera dengan langkah wajar demi menambah baik sistem demokrasi.

Meskipun belum wujud secara rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan, usul ini telah diluluskan di Parlimen, justeru tidak seharusnya dilengah-lengahkan untuk direalisasikan dalam waktu terdekat, kata Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Univesiti Kebangsaan Malaysia itu berkata, ia bukan sahaja mandat rakyat – khususnya anak muda – malah baik untuk sistem demokrasi negara kerana sebahagian signifikan penduduk kini terdiri daripada golongan berkenaan.

“Justeru mereka perlu terlibat dalam proses demokrasi, antaranya mengundi untuk memilih wakil mereka dan mereka sendiri menjadi wakil rakyat.

“Dengan ini, anak muda dapat terbabit secara langsung dalam semua ehwal awam negara untuk sama-sama membangunkan negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Beliau menyifatkan usaha melambat-lambatkan proses Undi 18 ini sebagai satu pencabulan terhadap hak yang dijamin Perlembagaan.

Walaupun tidak dapat dinafikan hak yang dijamin Perlembagaan dan masih berupa kuasa kerajaan yang memerintah, ianya tidak boleh sesekali dilakukan secara kehendak hati.

Ini kerana fungsi utama Perlembagaan adalah untuk memberi perlindungan kepada rakyat.

“Sehubungan itu, ia hendaklah melindungi anak muda dalam konteks Undi 18 ini dan bukan sebaliknya.

“Oleh itu, hak mengundi sebagai hak asasi manusia tidak boleh dilengah lagi dan perlu disegerakan mulai sekarang,” katanya.

Pada 25 Mac lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan media menyatakan, hak mengundi automatik dan penurunan had usia mengundi kepada 18 tahun hanya akan dilaksanakan selepas 1 September 2022 ekoran cabaran yang dihadapi oleh SPR ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Untuk rekod, pada 16 Julai 2019, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun dengan mendapat lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan.

Begitu juga pada 25 Julai tahun sama, ia diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button