Berita Utama

Wujudkan hospital sementara untuk pesakit COVID-19 kategori 3

Berisiko lebih teruk kerana tak dapat rawatan jika dikuarantin di rumah

BANGI, 23 Muharram 1443H, Rabu – Pesakit COVID-19 kategori 3 boleh diselamatkan sekiranya dikuarantin di hospital sementara, yang mana sekali gus membantu mengurangkan kadar kematian.

Melihat kes jangkitan yang masih tinggi, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan supaya hospital sementara diwujudkan bagi menampung keperluan pesakit COVID-19 kategori 3 untuk menjalani kuarantin dan mendapatkan rawatan.

Ini kerana, pesakit yang berada dalam kategori berkenaan sudah menunjukkan jangkitan paru-paru dan berisiko menjadi lebih teruk kerana tidak mendapat rawatan jika dikuarantin di rumah.

“Keluarga di rumah tidak dapat tolong kerana tidak boleh dekat dengan pesakit. Doktor tidak dapat dipanggil.

“Pesakit jadi lebih teruk. Oksigen tidak ada di rumah. Dan akhirnya pesakit meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan di chedet.cc, hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu percaya pesakit masih boleh diselamatkan jika dirawat di hospital sementara yang hanya dibekalkan dengan oksigen dan beberapa doktor serta jururawat.

“Pihak tentera boleh bina hospital ala field hospital. Dewan-dewan di hotel dan bangunan lain boleh dilengkap dengan katil, oksigen dan doktor serta jururawat.

“Apabila dikesan pesakit sudah jadi lebih serius, doktor dan jururawat boleh beri oksigen. Jika kurang respon, pesakit boleh dipindah ke hospital biasa,” katanya.

Pada masa sama, Dr Mahathir turut mencadangkan supaya lawatan oleh pasukan doktor dan jururawat dilakukan kepada pesakit kategori 1 dan 2 yang dikuarantin di rumah.

“Dengan itu jika ada pesakit yang serius mereka boleh dipindah ke hospital untuk pesakit kategori 3.

“Saya harap cadangan saya ini diterima oleh Kementerian Kesihatan. Saya percaya jumlah kes baru dapat dikurangkan dan juga jumlah kematian,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button