Berita Utama

KeTSA tak setuju keputusan nyahwarta Hutan Simpan Kuala Langat Utara

Syor kawasan gantian terus dilindungi dan dipulihara

BANGI, 24 Muharram 1443H, Khamis – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) serta jabatan dan agensi dibawahnya tidak bersetuju dengan tindakan pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara, khususnya di peringkat awal cadangan oleh kerajaan negeri Selangor.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan, pihak kementerian serta jabatan dan agensi berkaitan juga telah mengemukakan bantahan rasmi kepada kerajaan negeri berhubung pewartaan keluar hutan itu tahun lepas.

Katanya, sebagai kementerian yang bertanggungjawab dalam pengurusan sumber asli negara, pihaknya memandang berat dan mengambil perhatian pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang melibatkan kehilangan sebahagian daripada keluasan asal iaitu seluas 957.63 hektar.

Ini kerana, sehingga tahun 2019, data Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) menunjukkan jumlah kawasan berhutan negeri Selangor adalah pada 31.74 peratus.

“Kementerian mengambil maklum penggantian seluas 579.64 hektar melibatkan empat kawasan hutan berasingan iaitu Hutan Simpan Sungai Panjang (308.62 hektar), Hutan Simpan Buloh Telor Barat (149.96 hektar), Hutan Simpan Buloh Telor Timur (57.18 hektar) dan Hutan Simpan Broga (63.88 hektar) sebagai Hutan Simpanan Kekal.

“Dalam hal ini, kementerian ini juga mengesyorkan agar kawasan gantian tersebut terus dilindungi dan dipulihara bagi memastikan kawasan berhutan di Selangor dikekalkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian berkata demikian merujuk kepada artikel yang disiarkan dalam Malay Mail pada Isnin lalu bertajuk ‘Selangor Government Approves Degazettement of Kuala Langat North Forest Reserve, 536.7ha to be Developed’.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, Malaysia komited dalam memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi kawasan berhutan selaras dengan komitmen yang dinyatakan di peringkat antarabangsa.

Katanya lagi, pemeliharaan kawasan berhutan adalah penting disebabkan oleh peranannya dalam memberikan perkhidmatan ekosistem kepada kesejahteraan hidup masyarakat.

Justeru, beliau berharap kerajaan negeri dapat memastikan kawasan hutan yang telah diwarta keluar itu dibangunkan dengan bertanggungjawab dan mengambil kira amalan pembangunan lestari.

Ia termasuk memastikan kecukupan zon penampan dan semua syarat Laporan Kajian Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) yang telah ditetapkan, dipatuhi sepenuhnya.

Jelasnya, ini bagi memastikan pembangunan yang bakal dilaksanakan tidak mengganggu gugat kawasan hutan dan ekosistem yang terletak bersebelahan, mahupun kehidupan masyarakat setempat khususnya masyarakat Orang Asli.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button