Ahli politik lompat parti patut diharamkan jadi calon PRU
Pemimpin lompat parti tiada jati diri, hanya aniaya pengundi

Oleh Zuhayati Yazid
BANGI 24 Muharram 1443H, Khamis – Tindakan pemimpin melompat parti seolah-olah sudah menjadi trend, walhal tindakan mereka sangat tidak bermaruah.
Justeru, tindakan tegas perlu diambil termasuk menyenarai hitam dan mengharamkan mereka menjadi calon lagi dalam pilihan raya sebagai ‘hukuman’ kepada tindakan yang hanya menguntungkan diri sendiri.
Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Prof Datuk Dr Ismail Sualman menyifatkan ahli politik yang melompat parti sebagai individu yang tidak mempunyai prinsip yang kukuh dan tidak memiliki jiwa politik sebenar.
“Sebagai pemimpin perlu cekal dan terima secara terbuka sekiranya kalah dan bukan beralih kepada pihak majoriti, itu tidak tidak matang namanya.
“Sepatutnya golongan ini tidak boleh bertanding lagi walaupun dalam pilihan raya kecil kerana tidak bermaruah dan hanya menganiaya pengundi.
“Jika dulu tahun 1980-an hanya seorang sahaja suka melompat parti sehingga digelar katak lompat tetapi dia memiliki alasan kukuh untuk berubah, keadan ini juga merupakan punca utama kepada politik negara kita menjadi tidak matang,” katanya ketika dihubungi ismaweb.net hari ini.
Mengulas mengenai Akta Anti Lompat Parti, Dr Sualman berkata, ia pernah diusulkan sekitar tahun 1980-an namun ditolak oleh Ahli Parlimen untuk membincangkan perkara itu secara serius di Parlimen.
“Tapi dulu hanya sebilangan yang buat perkara tidak bermaruah ini, tapi kali ini sangat tidak budiman apabila pemimpin bertindak sedemikian dan tidak mengikut lunas yang ditetapkan sehingga dilihat menganiaya pengundi.
Katanya sebagai pemimpin dan wakil rakyat, mereka perlu ada jati diri sendiri dan perlu menjadi matang dalam dunia politik.
Difahamkan, penggubalan Akta Anti Lompat Parti memerlukan sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen bagi meminda Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan.