Berita Utama

MB Selangor perlu adil, tak abai kawasan ‘ditawan’ pembangkang

Agih peruntukan secara sama demi kesenangan, pembangunan negeri

BANGI, 9 Safar 1445H, Sabtu – Kerajaan Selangor diminta bertindak adil dan tidak meminggirkan kemajuan di Kuala Selangor susulan kesemua lima Dewan Undangan Negeri (DUN) itu yang dimenangi pembangkang pada Pilihan Raya Negeri (PRN), baru-baru ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari perlu mengetepikan soal politik bagi membangunkan negeri ini, kata bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

“Sebagai bekas pemimpin di Selangor ini, saya hendak melihat bahawa negeri ini dimajukan secara adil kepada semua rakyat,” katanya.

Terdahulu beliau hadir Program Pengedaran Jalur Gemilang kepada penjaja di Pekan Tanjong Karang, hari ini.

Atas dasar itu, beliau menuntut supaya peruntukan diagihkan secara sama rata demi kesenangan rakyat dan pembangunan dalam meningkatkan taraf sosiekonomi rakyat.

Katanya, walaupun lima DUN dalam daerah Kuala Selangor dimenangi pembangkang, namun diharap kerajaan negeri berlaku adil untuk bersama-sama membangunkan daerah ini.

“Di daerah Kuala Selangor mempunyai dua Parlimen dan lima DUN itu mencipta sejarah luar biasa apabila enam daripada tujuh kerusi dimenangi pembangkang.

“Di daerah (Kuala Selangor) ini, PH (Pakatan Harapan) hanya memenangi satu kerusi Parlimen Kuala Selangor, manakala Parlimen Tanjong Karang dan semua lima DUN dimenangi oleh PN (Perikatan Nasional).

“Tidak pernah berlaku lagi Kuala Selangor ini dikuasai pembangkang yang dulunya kawasan ini pernah menjadi kubu kuat BN (Barisan Nasional), tetapi hari ini telah pun berubah apabila ia menjadi kubu kuat PAS dan Bersatu,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Parlimen Kuala Selangor dimenangi penyandangnya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dari PH dan Parlimen Tanjong Karang pula dimenangi PN menerusi Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanapi.

Manakala lima DUN dimenangi PN iaitu di DUN Sungai Burong, Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin dan DUN Permatang, Nurul Syazwani Noh.

Selain itu, DUN Bukit Melawati Noorazley Yahya; Ijok, Jefri Mejan dan Jeram, Harrison Hassan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button