Berita Utama

Dana asing: Kerajaan perlu pastikan agenda luar tak pengaruhi rakyat

Lucut hak warganegara jika sikap tikam negara dari belakang

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 24 Muharram 1443H, Khamis – Pendedahan bahawa ada pemimpin politik yang menerima bantuan dan sokongan moral individu dan organisasi luar negara – terutama Amerika Syarikat (AS) – dalam meneruskan karier politik mereka mesti dipandang serius.

Biarpun dakwaan bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral (B) Datuk Mohd Salleh Ismail berhubung perkara itu tidak menamakan sesiapa, namun tetap perlu diberi perhatian.

Menganggap isu itu bukan suatu yang pelik dan mengejutkan, Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni mengakui, sebelum ini pun desas-desus mengenainya sudahpun kedengaran walaupun tidak didedahkan bukti secara jelas.

“Apa yang pasti beberapa insiden sebelum ini menunjukkan memang ada pihak dalam negara yang memburuk-burukkan negara di mata pihak luar sejak dari dulu.

“Ini seperti kumpulan COMANGO yang pernah mendakwa itu dan ini terhadap isu-isu hak asasi manusia oleh kerajaan di hadapan para diplomat negara asing.

“Begitu juga seperti cubaan sesetengah pihak untuk menekan kerajaan agar menuruti kehendak pihak luar di dalam meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD),” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Serentak itu, Ustaz Fauzi menggesa kerajaan mengambil sikap tegas dan tindakan yang tuntas bagi memastikan agenda pihak luar tidak masuk mempengaruhi rakyat.

“Tindakan seperti melucutkan hak kewarganegaraan mungkin boleh difikirkan jika dana luar yang diterima itu menyebabkan mereka merungkai kesetiaan terhadap negara dan mengambil sikap menikam negara dari belakang,” sarannya.

Terdahulu tanpa mendedahkan sama ada pemimpin politik terbabit menerima sokongan kewangan, Mohd Salleh berkata, intipan yang dilakukan mendapati pemimpin politik itu turut melakukan pertemuan dengan individu berpengaruh di luar negara.

Memetik kenyataannya kepada Mingguan Malaysia, beliau mendedahkan, maklumat risikan menunjukkan pemimpin-pemimpin terbabit ‘sangat diminati’ oleh pihak luar, sekali gus mendapat bantuan fizikal serta sokongan untuk mereka meneruskan kelangsungan politik.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button