Berita Utama

Ekonomi negara ambil masa 7 tahun pulih sepenuhnya

Situasi sekarang adalah kitaran ekonomi setiap 10 tahun sekali

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI 24 Muharram 1443H, Khamis – Pakar mengakui ekonomi negara merudum akibat wabak COVID-19, namun dijangka berubah dan akan terus meningkat dalam tempoh 7 tahun akan datang.

Penganalisis ekonomi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, ekonomi negara ketika ini sememangnya berdepan kemelesetan, tetapi kita sedang dalam fasa peralihan untuk kembali pulih.

“Pelbagai situasi kita sudah lalui yang menyebabkan ekonomi menjunam sejak 2018 pertukaran kerajaan, kemudian diikuti dengan pandemik COVID-19 menyebabkan ekonomi sekali lagi menjunam teruk.

“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk kali kedua, juga menjadi punca keadaan kembali merudum walaupun ketika itu negara baru melangkah untuk bangkit.

“Namun dengan pelbagai bantuan yang disalurkan kerajaan termasuk Pakej Perlindungan Rakyat & Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), pastinya dilihat menjana semula keadaan ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Dr Nuradali mengakui situasi yang terjadi sekarang adalah kitaran ekonomi dan berlaku dalam tempoh setiap 10 tahun sekali.

“Jika dilihat semula, kita pernah berdepan krisis kewangan pada 1998 dan 10 tahun kemudian diikuti krisis sub prima pada 2008.

“Sama juga yang berlaku sejak 2018 dengan isu pertukaran kerajaan diikuti COVID-19, menyebabkan ekonomi negara terjejas teruk,” katanya.

Beliau berkata, negara mempunyai masa 7 tahun lagi untuk terus bangkit dan melonjak sebelum dijangka kembali merudum pada 2028.

“Kita telah berdepan episod duka selama 3 tahun bermula 2018 dan mempunyai 7 tahun lagi untuk membangun sebelum berdepan krisis besar,” katanya.

Terdahulu, Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 3.0 hingga 4.0 peratus bagi keseluruhan tahun ini, lebih rendah berbanding unjuran awal antara 6.0 peratus hingga 7.5 peratus.

Dengan unjuran pertumbuhan berkenaan, negara dijangka mencatatkan pertumbuhan paras pra-COVID-19 pada suku keempat 2021.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button