Berita UtamaDunia

Kes COVID-19 Filipina melonjak tinggi kerana varian Delta

Penggunaan katil hospital lebih 70 peratus, separuh perlu mesin bantuan pernafasan

MANILA, 24 Muharram 1443H, Khamis – Kes jangkitan COVID-19 di Filipina kini mencecah dua juta, ketika negara itu bergelut lonjakan tertinggi akibat varian berbahaya Delta yang mudah berjangkit.

Kementerian Kesihatan Filipina merekodkan 14,215 kes baharu sekali gus menjadikan keseluruhan kes negara itu melebihi dua juta dengan kematian 33,533 kes.

“Penggunaan katil di hospital juga melebihi 70 peratus dan separuh daripada jumlah itu memerlukan mesin bantuan pernafasan.

“Kemungkinan jumlah kes COVID-19 akan terus meningkat dalam tempoh beberapa hari akan datang,” katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula memaklumkan, dalam tempoh beberapa minggu lalu, kadar kes harian mencecah paras tertinggi, dan Jabatan Kesihatan Filipina memberi amaran trend itu mungkin berterusan.

Sementara itu, wakil WHO di Filipina, Rabindra Abeyasinghe berkata, lonjakan terbaharu itu disebabkan oleh varian Delta, yang turut menjejaskan beberapa negara jiran.

“Lebih 70 peratus jangkitan ketika ini berpunca daripada varian Delta,” katanya.

Perintah berkurung di ibu negara dan beberapa wilayah berhampiran dilanjutkan, ketika pihak berkuasa berusaha menurunkan jumlah penularan virus berkenaan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button