Berita Utama

KPDNHEP rampas 1,000 peket minyak masak

Serbuan berpandukan daripada aduan dibuat orang awam

GEORGE TOWN, 24 Muharram 1443H, Khamis – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri telah menyita 1,000 peket minyak masak bersubsidi yang bernilai RM2,500, dalam pemeriksaan di sebuah stor berhampiran premis yang menjalankan perniagaan borong sayur-sayuran di George Town sini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Cawangan Timur Laut, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata, serbuan yang dijalankan sekitar jam 11 pagi pada 1 September itu, adalah berpandukan daripada aduan yang dibuat oleh orang awam.

“Siasatan awal mendapati stor berkenaan digunakan menyimpan bekalan minyak masak bagi pasaran di sekitar George Town. Namun stor berkenaan bukanlah tempat penyimpanan seperti yang dinyatakan dalam lesen,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata, KPDNHEP juga ingin mengingatkan kepada peniaga dan syarikat yang berurusan dengan barang kawalan berjadual hendaklah mematuhi perundangan yang ditetapkan dan mengikuti saluran yang betul bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan barang kawalan berjadual. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button