Berita Utama

Maqis rampas 30kg daging babi dari China

Gagal kemukakan permit import

BANGI 24 Muharram 1443H, Khamis – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 30 kilogram daging babi dari China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Selasa lepas kerana gagal mengemukakan permit import dan sijil kesihatan.

MAQIS Selangor dalam satu kenyataan hari ini berkata rampasan itu adalah hasil pemeriksaan terhadap dua warga China, berusia 30 dan 36 tahun di Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA pada kira-kira 5 petang yang menemukan 80 pek produk daging babi bernilai RM600 diletakkan di dalam dua kotak gabus.

Kedua-dua lelaki itu datang ke negara ini untuk bekerja dan daging babi itu dipercayai dibawa masuk untuk kegunaan sendiri.

“Daging babi itu telah dirampas kerana gagal mengemukakan permit import yang dikeluarkan oleh Jabatan MAQIS dan Sijil Kesihatan daripada negara asal,” katanya.

Daging babi tersebut akan dihantar ke Makmal Kesihatan Veterinar bagi tujuan persampelan untuk mengenal pasti penyakit African Swine Fever (ASF), katanya.

Jabatan itu berkata tindakan melarang kemasukan daging berkenaan di laluan udara adalah bagi menghalang risiko penularan penyakit ASF yang boleh merosakkan industri ruminan negara.

Perbuatan mengimport apa-apa jenis tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanah atau mikroorganisma tanpa permit import yang sah dari MAQIS adalah kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM100,000 atau dipenjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya.

“Pihak MAQIS akan sentiasa tegas dan teliti dalam menjalankan aktiviti penguatkuasaan di semua pintu masuk seluruh Malaysia. Langkah ini bagi menjamin keselamatan pertanian dan makanan negara serta memastikan makanan yang masuk ke Malaysia mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan,” katanya. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button