Berita UtamaDunia

Taufan Ida: NYC dan New Jersey isytihar darurat

Banjir besar melanda, enam orang dilaporkan terbunuh

NEW YORK, 24 Muharram 1443H, Khamis – Datuk Bandar New York City (NYC) mengisytiharkan darurat selepas Taufan Ida membawa hujan lebat yang membanjiri laluan dan jalan bawah tanah di Manhattan, Brooklyn dan New Jersey.

Ribut melanda negara bahagian selatan Amerika Syarikat (AS), Louisiana, Mississippi, Alabama dan Florida pada Ahad, membanjiri kawasan kejiranan, menyebabkan bekalan elektrik terputus secara meluas dan membunuh sekurang-kurangnya enam orang.

Susulan itu juga, larangan perjalanan dikenakan hingga jam 5 pagi waktu tempatan untuk kenderaan bukan kecemasan, menurut sistem pemberitahuan kecemasan rasmi NYC.

“Kami mengharungi peristiwa cuaca bersejarah malam ini (semalam) dengan hujan memecah rekod di seluruh bandar, banjir besar dan keadaan berbahaya di jalan raya kami,” kata Datuk Bandar NYC, Bill de Blasio di akaun Twitter.

Menerusi kenyataan berlainan, beliau meminta penduduk menjauhi jalan dan membiarkan responden pertama dan perkhidmatan kecemasan menyelesaikan tugas mereka.

“Jika anda berfikir untuk keluar, jangan. Jauhkan dari jalan bawah tanah. Jauhi jalan raya. Kekal di rumah,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar New Jersey, Hector Carlos Lora berkata, seorang maut semalam di Passaic susulan ribut yang berkaitan dengan taufan.

New Jersey juga mengisytiharkan darurat sebagai langkah berjaga-jaga akibat taufan.

Lebih daripada 991,000 pelanggan elektrik kekal tanpa kuasa di negeri Louisiana yang berjumlah 4.6 juta orang pada Rabu, tiga hari selepas Taufan Ida membadai negara pantai Teluk. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button