Berita UtamaDunia

73 pelajar diculik kumpulan bersenjata di Nigeria

Kumpulan penjenayah tuntut wang tebusan daripada ibu bapa

ZAMFARA, 25 Muharram 1443H, Jumaat – Sekumpulan lelaki bersenjata yang tidak diketahui identitinya menyerang sebuah sekolah di barat laut Nigeria, Zamfara dan menculik 73 pelajar.

Kejadian itu berlaku hanya beberapa hari selepas tiga kumpulan tebusan dibebaskan selepas pembayaran tebusan besar-besaran dilaporkan dilakukan di negara itu.

Penyerang dilaporkan menyerang sekolah menengah harian kerajaan di kampung terpencil Kaya, di wilayah Maradun, Zamfara, pada jam 11.22 pagi waktu tempatan, kelmarin menurut satu kenyataan polis.

“Komando telah mengerahkan pasukan mencari dan menyelamat yang diberi mandat bekerjasama dengan tentera untuk memastikan keselamatan ketika menyelamatkan pelajar yang diculik,” kata jurucakap polis Zamfara, Mohammed Shehu dalam kenyataan itu.

Polis mengatakan mereka juga telah memperketatkan keselamatan di sekitar Kaya, yang mempunyai sekitar 23,000 penduduk untuk mencegah serangan lanjut terhadap masyarakat.

Zamfara adalah antara empat negeri di barat laut Nigeria yang telah mengambil langkah-langkah untuk berusaha mengekang krisis keselamatan di kawasan-kawasan di mana jumlah polis tidak cukup.

Sebelum ini, sejumlah kanak-kanak yang diculik di utara Nigeria dibebaskan dari tahanan setelah tiga bulan dan menunggu untuk bertemu kembali dengan keluarga mereka.

Kumpulan bersenjata, yang dikenali sebagai ‘penyamun’, telah menculik lebih daripada 1,000 pelajar dalam berpuluh serangan ke atas sekolah atau kolej di barat laut Nigeria sejak Disember 2020.

Kumpulan penjenayah bersenjata itu menuntut pembayaran wang tebusan daripada ibu bapa.

Sebilangan mereka diculik telah dibebaskan setelah berunding dengan pegawai tempatan dan beberapa yang lain telah mati atau terbunuh dalam tahanan.

Jumaat lalu, 90 pelajar di utara Nigeria dibebaskan setelah tiga bulan diculik.

Kanak-kanak itu telah diculik bersama dengan ratusan pelajar lain oleh lelaki bersenjata dalam serangan di waktu siang di sekolah mereka pada akhir Mei.

Presiden Muhammadu Buhari, yang berjanji untuk mengatasi rasa tidak selamat pada pelantikannya pada 2019, berada di bawah tekanan yang semakin tegang berikutan penculikan meningkat di barat laut Nigeria yang miskin.

Pegawai keselamatan bimbang dengan kemungkinan bahawa penculik tersebut ditarik masuk oleh pengganas Takfiri.

Bahagian utara dan timur laut negara itu berdepan dengan keganasan selama bertahun-tahun yang melibatkan Boko Haram dan sekutu lain dari kumpulan pengganas Takfiri Daesh. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button