Berita Utama

Ekonomi lesu, PBT perlu main peranan catur kebangkitan peniaga

Wujudkan Pusat Sehenti Usahawan beri bantuan bimbingan, kewangan

Oleh: Zuhayati Yazid

BANGI 25 Muharram 1442H, Jumaat – Golongan peniaga kecil perlu diberi jalan untuk kembali bangkit selepas terkesan akibat pandemik COVID-19 melalui bimbingan termasuk dari pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi-agensi lain.

Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata, kini PBT perlu memainkan peranan untuk menjadi tunggak dengan mengumpul agensi lain bagi membantu meringankan beban golongan peniaga kecil untuk bangkit semula.

“Pusat Sehenti Usahawan perlu diwujudkan dan boleh menghimpunkan semula golongan usahawan itu, PBT pula menjadi tuan rumah dan menghimpunkan agensi-agensi lain di bawah satu tempat, dengan maklumat dan bantuan yang boleh diberikan, ia memberi semangat dan nafas baru kepada peniaga kecil khusus kembali bangkit.

“Ini kerana tidak semua peniaga terutama di luar bandar berkebolehan untuk membuat penjualan secara digital, jadi dengan menghimpunkan semua pihak di bawah satu bumbung boleh memberikan idea dan pandangan kepada golongan ini.

“Jadi peniaga itu tak perlu lagi ke hulu ke hilir untuk berurusan dengan bank atau mana-mana agensi. Pusat sehenti ini memudahkan, semuanya ada merangkumi bantuan, pendidikan dan pembiayaan sekalipun,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Berkongsi pandangan, Prof Abu Sofian berkata, mungkin dewan komuniti boleh dijadikan sebagai lokasi Pusat Sehenti Usahawan sebagai tempat berkumpul untuk memberi maklumat, manakala agensi-agensi lain pula seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Urus Niaga (Tekun) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyalurkan maklumat daripada segi bantuan kewangan.

Pada masa sama, beliau mencadangkan supaya PBT memudahkan urusan golongan peniaga selain mengurangkan karenah birokrasi dalam menghidupkan semula perniagaan mereka.

“Golongan ini mungkin ada idea untuk bangkit namun mereka kekurangan modal, selain memerlukan pelbagai proses menjadikan idea terpaksa dibiarkan, cuba kurangkan birokrasi sebaliknya mudahkan urusan mereka, bantulah mereka mahu bangkit dan kembali berniaga,” ujarnya.

Ditanya sama ada perlu bantuan kerajaan diteruskan untuk meringankan golongan terjejas, beliau berpandangan, adalah lebih baik program menjurus ke arah yang lebih terjamin daripada bantuan kewangan semata-mata dianjurkan.

“Macam kita bagi ikan dan alat pancing, lebih baik kita bantu dalam jangka panjang seperti peluang pekerjaan dan kursus yang mendatangkan hasil sekali gus boleh menjamin kehidupan mereka,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button