Berita UtamaIstimewa

Nilai penjajah masih tebal di negara ini walau 64 tahun merdeka

Tamadun Melayu hari ini kesunyian pemimpin berani bersuara tegak kebenaran

Oleh: Zuhayati Yazid

BANGI 25 Muharram 1442H, Jumaat – Negara tidak akan merdeka walaupun sudah bebas selama 64 tahun sekiranya sistem yang diamalkan masih mengikut cara penjajah.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, kemerdekaan yang dilalui kini sekadar fizikal semata-mata namun nilai penjajah itu masih tebal dan berleluasa dalam sistem negara hari ini.

“Kalau dilihat sistem politik kita hari ini masih lagi mengamalkan demokrasi liberal, ini semua adalah pendekatan yang ditinggal penjajah dahulu, begitu juga sistem ekonomi yang diamalkan di negara ini adalah kapitalis dan bukan berkonsepkan Islam.

“Bukan itu sahaja sistem pendidikan juga berasaskan materialisme dan bukannya akhlak, sebab itu hari ini kita melihat banyak robot dilahirkan bukan manusia yang berakhlak.

“Kita hanya mementingkan berapa A yang diperolehi oleh anak-anak yang menduduki peperiksaan tetapi dari sudut akhlak semuanya ketinggalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel webinar Wawancara PEMBELA bertajuk ‘Erti Kemerdekaan Dalam Membina Tamadun’ yang turut disertai Timbalan Presiden Institut Tradisi Pemikiran Islam, Haji Ismail Mina Ahmad.

Sehubungan itu, Aminuddin berkata, perubahan harus dilakukan dalam usaha membentuk semula asas tamadun dengan mengetengahkan tiga aspek yang perlu diutamakan.

“Dalam situasi hari ini, kita masih belum lagi terlambat namun perlukan perubahan minda, jangan sekadar melihat kehidupan hanya sia-sia sebaliknya perlu ada matlamat dan perlu kembali ke jalan lurus berlandaskan Islam.

“Kita tidak mahu sekadar melahirkan robot yang hanya lulus peperiksaan tetapi jiwanya kosong tanpa pengisian sebenar.

“Selain itu, perubahan sistem yang diamalkan juga perlu ditukar ganti ke arah yang lebih dinamik,” katanya.

Malah, katanya lagi, pemimpin yang berani juga amat diperlukan dalam pembentukan asas tamadun negara pada hari ini.

“Kita perlukan pemimpin yang bukan sahaja berani tetapi tegas namun apa yang ada hari ini, semua takut untuk bersuara dan bertegas dengan apa yang dimiliki,” ujarnya.

Menurut Aminuddin lagi, tamadun Melayu hari ini kesunyian pemimpin yang berani untuk terus bersuara menegak kebenaran sebenar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button