Berita Utama

Rentas negeri: Sabar, masih ada harapan

SOP bagi kelonggaran itu akan dibentangkan kepada MKN

PUTRAJAYA, 25 Muharram 1442H, Jumaat – Masih ada harapan untuk penduduk negara ini merentas negeri termasuk golongan bujang dalam masa terdekat kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan beliau memohon mereka bersabar buat sedikit masa lagi.

Beliau berkata perbincangan dengan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sudah diadakan dan prosedur operasi standard (SOP) bagi kelonggaran itu akan dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita akan bawa ke MKN dalam masa terdekat. Ada harapan (untuk rentas negeri) cuma saya minta sabar sekejap sahaja lagi. Semuanya sudah ada (SOPs), hanya beri kami sedikit waktu. Kami tahu bahawa buka sahaja (kebenaran rentas) negeri, ibarat mencari masalah.

Ada beberapa negeri nilai ambang vaksinasinya rendah sedikit. Menjelang hujung September, semua negeri akan sampai nilai ambang 60 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi. Sikit lagi, bersabarlah,” katanya dalam satu temu bual khas di kementeriannya di sini hari ini.

Khairy berkata beberapa kelonggaran SOP akan turut diumumkan dalam masa terdekat ini termasuklah membenarkan pawagam beroperasi dan dibuka kepada individu lengkap vaksinasi COVID-19.

Pada Rabu lepas, Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) memohon kerajaan mempertimbangkan perkara itu memandangkan pengusaha pawagam kini berada dalam keadaan amat tenat selepas pawagam ditutup lebih setahun sejak Mac 2020 dengan kerugian dianggarkan melebihi RM600 juta.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Rembau itu berkata SOP baharu akan diumumkan termasuk mengenai pengudaraan dalam bangunan awam.

“Pengudaraan akan menjadi sebahagian daripada SOP baharu. Ini penting. Kami sedang meneliti keperluan minimum bagi bangunan kerajaan. Ini adalah petunjuk prestasi utama (KPI) untuk kementerian lain tetapi kami akan memberikan keutamaan perkara ini,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button