Berita UtamaDunia

Ribuan penunjuk perasaan desak Perdana Menteri Thailand letak jawatan

Dilihat gagal tangani COVID-19, hanya 13 peratus divaksin sepenuhnya

BANGKOK, 25 Muharram 1443H, Jumaat – Ribuan penunjuk perasaan berkumpul di ibu negara Thailand untuk mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha.

Tunjuk perasaan yang berlangsung di persimpangan Asoke di pusat bandar Bangkok, semalam adalah salah satu perhimpunan terbesar tahun ini walaupun terdapat amaran daripada polis melarang ia dilakukan berdasarkan sekatan berkaitan coronavirus.

Protes terhadap Prayuth mendapat momentum sejak akhir bulan Jun selepas pihak yang meminta penyingkirannya tahun lalu, kembali tahun ini dengan sokongan lebih besar daripada orang ramai yang marah dengan keadaan semakin buruk COVID-19.

Para penunjuk perasaan menyalahkan Prayuth kerana gagal menangani wabak itu, terutama kegagalannya untuk mendapatkan bekalan vaksin tepat pada masa dan mencukupi.  

Hanya 13 peratus penduduk Thailand daripada populasi negara yang lebih daripada 66 juta orang telah divaksinasi sepenuhnya.

Negara itu mencatat lebih daripada 1.2 juta jangkitan dan 12,103 kematian sejak wabak itu bermula tahun lalu, dengan kebanyakan kes dan kematian meningkat mulai April tahun ini.

Walaupun demonstrasi di Asoke dilaksanakan secara aman, namun sekumpulan penunjuk perasaan antipemerintah yang lebih kecil melepaskan mercun dan membakar tayar kereta berhampiran kediaman Perdana Menteri di bahagian lain bandar itu.

Prayuth yang juga bekas ketua turus tentera pertama kali berkuasa pada tahun 2014 ketika memimpin kudeta menentang pemerintah sivil yang terpilih. 

Perlembagaan yang digubal oleh tentera, membolehkan Senat yang dilantik oleh tentera memilih Perdana Menteri telah membantunya menjawat jawatan tersebut selepas pilihan raya akhirnya diadakan dua tahun lalu.

Pilihan raya itu disifatkan banyak pihak sebagai sangat tidak telus sehingga memihak kepada Prayuth. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button