Sampai bila DBP mahu dibiar jadi ‘harimau tak bergigi’
Beri DBP kuasa ambil tindakan pada pihak tidak hormati bahasa kebangsaan

BANGI, 25 Muharram 1443H, Jumaat – Usaha untuk memupuk sikap dan kecintaan kepada bahasa Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia sudah cukup meluas, kata tokoh bahasa dan persuratan negara, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan.
Bahkan, katanya, telah wujud Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera yang khusus untuk menangani serta menyantuni jabatan-jabatan kerajaan.
Jelasnya, ada usaha yang telah menunjukkan kejayaan dengan wujudnya munsyi muda bahasa yang diusahakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).
Bagaimanapun, Prof Awang meluahkan rasa ketidakpuasan hati kerana ini hanya sebahagian usaha daripada pihak bawahan ke peringkat atasan.
“Yang saya harapkan, mesti ada usaha top ke down, maknanya kata orang keruh air di hulu keruhlah air di hilir.
“Jadi kalau di atas tidak begitu jelas atau tidak menguatkuasakan dasar bahasa kebangsaan, maka peringkat bawah tidak akan melihat ini sebagai suatu perkara yang penting,” katanya dalam webinar Agenda Pertiwi bertajuk 64 Tahun Merdeka: Mana Kedudukan Bahasa Negara? yang disiarkan secara langsung, semalam.
Mengulas lanjut, Prof Awang berkata, adalah menjadi kekesalan apabila bidang kuasa DBP tidak terlalu meluas untuk menguatkuasakan pemerkasaan bahasa Melayu.
Misalnya, kata beliau, kerjasama antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dan DBP hanya sekadar melibatkan pengiklanan serta papan tanda sahaja.
“Dewan Bahasa dan Pustaka mempunyai kuasa dari sudut meluluskan teks yang bakal dipamerkan pada iklan, pada nama jalan dan bangunan. Tetapi kuasa untuk memberikan permit adalah pada PBT, dewan bandaraya, majlis tempatan, majlis perbandaran dan sebagainya.
“Jadi selagi DBP tidak ada sedikit kuasa, dan hanya ada kuasa untuk mengesahkan teks, selagi itu ia terkekang,” katanya.
Beliau berkata, permohonan kebenaran untuk kelulusan nama atau iklan itu pun hanya akan dibuat jika setiap PBT cakna dan peka terhadap undang-undang pengiklanan.
“Tetapi daripada 149 PBT, masih besar jumlah peratusan yang tidak cakna. Jadi mereka tidak pun mengenakan syarat untuk ikut undang-undang kecil bagi membolehkan bahasa diutamakan, termasuk warna, saiz dan perkataan.
“Ini yang saya kata perlu Dewan Bahasa dan Pustaka diberi sedikit undang-undang untuk mengambil tindakan pada mereka yang tidak menghormati bahasa kebangsaan. Bukan maksud kita nak mendenda tapi sekadar menguatkuasakan,” katanya.
Lebih malang apabila DBP hanya umpama harimau kertas atau harimau tua yang tiada giginya, kata Prof Awang.
Beliau berkata, ketika ini DBP hanya dilihat sebagai ‘badan dakwah’, walhal badan dakwah ini juga boleh diberi kuasa ‘mendakwa’.
Tegasnya, jika keadaan sebegini ini dikekalkan, maka sampai bila-bila DBP hanya akan menjadi harimau kertas.
“Mengapa agaknya terjadi halangan yang begitu besar. Apabila diberikan kuasa untuk menyaman dan mengenakan tindakan undang-undang, mesti penjawat awam yang terlebih dahulu akan dikenakan tindakan. Ini pasti menimbulkan rasa tidak menyenangkan.
“Jadi pada hemat saya, apabila nasihat Peguam Negara mengatakan di dalam Perlembagaan tidak dibolehkan sebuah jabatan kerajaan menyaman. Jadi ini yang perlu dipinda, selepas dipinda, jabatan kerajaan atas kepentingan negara, boleh mengambil tindakan sewajarnya.
“Jika itu tidak dipinda, maka DBP sekadar mampu beri teguran,” katanya lagi.