Berita Utama

Selangor benarkan solat Jumaat di masjid

100 jemaah di masjid, 50 orang di surau termasuk pentadbir

BANGI, 25 Muharram 1443H, Jumaat – Seramai 100 orang jemaah termasuk pentadbir dibenar menunaikan solat Jumaat di semua masjid di negeri ini berkuat kuasa mulai solat Subuh pagi tadi, kata Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebooknya ‘Zawawi Mughni’, beliau memaklumkan ketetapan baharu itu juga membenarkan 50 orang jemaah termasuk pentadbir melaksanakan solat Jumaat di surau kebenaran solat Jumaat, manakala surau kariah serta musolla tidak dibenarkan.

Beliau memaklumkan ketetapan itu juga membenarkan solat lima waktu dilaksanakan dengan kehadiran 50 orang jemaah termasuk pentadbir di masjid, surau kebenaran solat Jumaat dan kariah serta musolla.

“Syarat jemaah hanya kepada ahli kariah lengkap dua dos yang tinggal dalam kariah penduduk setempat dan melaksanakan kaedah penggiliran jika jemaah lengkap dua dos melebihi kapasiti yang dibenarkan.

“Sehubungan pelaksanaan ketetapan bilangan jemaah terbaharu itu, semua aktiviti pengimarahan termasuk kuliah, ceramah, tazkirah boleh dilaksanakan secara dalam talian dari kediaman penceramah,” katanya.

Zawawi berkata akses dan kemudahan ruang solat kepada musafir, pemandu e-hailing, khidmat penghantar makanan dan pemandu kenderaan awam hendaklah terus disediakan.

Selain itu katanya pengurusan jenazah bukan COVID-19 di masjid dan surau dengan kehadiran ahli kariah atau kaum kerabat terdekat tidak boleh melebihi 20 orang serta tidak melebihi enam orang bagi jawatankuasa masjid atau surau yang akan menguruskan jenazah. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button