Berita Utama

Wujudkan umur ‘penutup’ untuk jadi wakil rakyat: Penganalisis

Pinda Perlembagaan contohi negara maju beri peluang pemimpin muda

Oleh: Zuhayati Yazid

BANGI 25 Muharram 1442H, Jumaat – Pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan perlu dilakukan dalam menghadkan umur dan syarat layak menjadi wakil rakyat, demi memastikan tanggungjawab tersebut hanya dipikul oleh mereka yang benar-benar berkemampuan.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, perubahan bukan mahu menghentikan perjalanan politik orang lama tetapi memberi peluang kepada generasi baru yang lebih muda lagi cergas untuk berkhidmat serta memimpin kerajaan.

“Kalau kita lihat ketetapan umur dalam jawatan Hakim Persekutuan yang menetapkan sehingga usia 66 tahun sahaja boleh berkhidmat, kerana usia melebihi daripada itu sudah tidak wajar untuk bekerja selain faktor terlalu lama dalam dunia pekerjaan boleh memberi kesan.

“Sepatutnya wakil rakyat juga perlu mencontohi had umur seperti itu kerana umum mengetahui apabila usia melebihi 70 tahun akan berdepan masalah kesihatan, fizikal mahupun mental malah kebolehan kognitif seperti pentaakulan konsep, ingatan dan kelajuan memproses maklumat makin menurun dengan drastik.

“Kita ambil contoh Perlembagaan Iran yang menetapkan wakil rakyat di negaranya tidak melebihi 75 tahun, sama seperti Australia dan Kanada yang lebih mengutamakan golongan muda berkhidmat dalam pentadbiran, yang dilihat membuka jalan golongan muda untuk berganti tempat dan sekali gus dapat memberi khidmat yang lebih mantap, semua ini kita boleh contohi dan melihat dari aspek positif,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut Dr Kamarul Zaman berkata, pada masa ini negara menetapkan individu 21 tahun ke atas sahaja boleh bertanding namun usia ‘penutup’ untuk mengakhiri karier politik tidak dinyatakan.

“Sebab itu kita perlu membuat perubahan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan keadaan politik berjalan seimbang,” ujarnya.

Begitu juga dalam isu jawatan Perdana Menteri, katanya lagi, sepatutnya dihadkan untuk beberapa penggal sahaja bagi individu yang dilantik menggalas jawatan berkenaan.

“Paling sesuai tiga penggal untuk memegang jawatan itu kerana sekiranya lebih pemimpin berpeluang menjadi ‘besar kepala’ kerana terlalu selesa, mungkin selepas tempoh itu boleh bagi peluang kepada yang lebih bertenaga untuk menggalas jawatan berkenaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button