Berita Utama

Ubah sistem pentadbiran negara ke arah berlandas Islam, sunnah

Bangkit cari pendekatan merdeka sebenar dalam konsep Islam

Oleh: Zuhayati Yazid

BANGI, 26 Muharram 1443H, Sabtu –  – Sudah tiba masanya sistem pentadbiran negara diubah berlandaskan syariat Islam dan sunnah, serta tidak lagi terikat dengan falsafah atau ideologi yang ditinggalkan penjajah.

Timbalan Presiden Institut Tradisi Pemikiran Islam, Haji Ismail Mina Ahmad berkata, semua pihak perlu bertindak segera dan muhasabah diri kerana walaupun telah 64 tahun bebas tetapi masih lagi membawa budaya serta terus kekal dalam ideologi penjajah.

“Sepatutnya kita perlu prihatin dan nyahkan falsafah yang ditinggalkan, kita perlu bangkit dan mencari pendekatan merdeka sebenar dalam konsep Islam iaitu memperkasakan sistem pentadbiran dengan bertunjangkan Islam.

“Kalau dilihat sekarang memang banyak pembinaan yang berasaskan Islam tetapi sekadar retorik semata-mata, hanya kerangka yang ada tapi masih lagi mengamalkan sekularisme,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel webinar Wawancara PEMBELA bertajuk ‘Erti Kemerdekaan Dalam Membina Tamadun’ yang turut disertai Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya, semalam.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, keutamaan kini meneruskan usaha memperkasakan institusi pendidikan yang bertunjang Islam kerana itu adalah tunggak kepada keseluruhan sistem yang lain.

Katanya, dalam perkara ini seharusnya keberanian menjadi aspek keutamaan.

“Buat masa sekarang kita masih tidak berani kerana pemikiran dan garis panduan kejayaan hari ini dilihat dengan cara materialisme, lihat sahaja anak-anak kita lebih memfokuskan untuk mereka mendapat banyak A walaupun jiwanya kosong, itu semua adalah didikan daripada penjajah.

“Seharusnya kita perlu berani untuk berubah dan keluar daripada kebinasaan dan tidak terus kekal buta huruf dalam al-Quran sebaliknya berganjak menjadi celik al-Quran,” ujarnya.

Pada masa sama, Ismail Mina turut mempersoalkan berapa ramai pemikir dan pemimpin di negara ini yang mahir dalam hadis serta al-Quran.

“Kita mahukan yang celik sebenar bukan celik dalam mamai sebab itu kita perlukan perubahan ini dan kita lihat hari ini berapa ramai pemimpin kita yang benar-benar celik al-Quran, bukan nak kata mereka tidak pandai mengaji tapi dalam konsep sebenar.

“Sebab itu, sistem pendidikan kita perlu tekankan al-Quran, adakah di negara kita ada biasiswa khusus untuk mereka yang mendalami hadis dan al-Quran, seharusnya isu ini perlu dipandang serius dan diberikan keutamaan supaya tidak lagi dibelenggu dengan ideologi penjajah sedangkan sudah lama merdeka daripada dijajah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button