Berita UtamaDunia

AS rancang beri RM9,431 setiap seorang pelarian Afghanistan

50,000 pelarian tiba di bawah program kemanusiaan boleh tinggal selama setahun

BANGI 26 Muharram 1442H, Sabtu – Kerajaan Amerika Syarikat (AS) bersama lebih 200 agensi swasta kini berusaha untuk membina penempatan kepada ribuan pelarian Afghanistan.

Melalui usaha itu juga kerajaan merancang untuk menyalurkan bantuan kewangan sebanyak AS$2,275 (RM9,431) bagi membolehkan pelarian menyediakan keperluan seperti kediaman, makanan serta pendaftaran persekolahan.

“Apa yang berlaku hari ini bukan urusan seperti biasa dan tidak pernah berlaku sebelum ini, tetapi kami telah bersedia dan walaupun tidak sempurna namun tidak mengapa kerana semua yang berlaku buat masa ini adalah darurat,” kata Pengarah Eksekutif Perkhidmatan Pelarian dan Imigran di New Haven Connecticut, Chris George.

Kira-kira 50,000 pelarian Afghanistan tiba di bawah program kemanusiaan yang membolehkan mereka tinggal selama setahun dengan kebenaran visa.

Malah, kumpulan itu turut diberikan kebenaran bekerja secara langsung dengan kerajaan AS.

Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Alejandro Mayorkas berkata, pihaknya telah menerima kemasukan 40,000 pelarian dengan 31,600 daripada mereka merupakan pemegang visa khas, pemohon visa khas atau terlibat dalam program kemanusiaan.

Pada masa sama, George berkata, pihaknya telah menyewa kediaman di Harford dan New Haven selepas dimaklumkan kemasukan pelarian berkenaan.

Malah, pihaknya juga telah membawa koordinator pendidikan bagi mengurus pembelajaran anak-anak pelarian. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button