Berita Utama

iGuru sokong larang guru enggan divaksin mengajar secara semuka

Saran KPM terus usaha pujuk, motivasi 2,500 guru untuk divaksinasi

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 26 Muharram 1443H, Sabtu – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menyokong tindakan kerajaan tidak membenarkan guru yang enggan menerima vaksin COVID-19 terlibat dalam sesi pengajaran secara bersemuka di dalam kelas.

Presidennya, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, pihaknya juga bersetuju untuk kumpulan guru terbabit dikecualikan penglibatan mereka secara bersemuka dengan pelajar dan diberikan tugasan lain secara atas talian.

Bagaimanapun, beliau menyarankan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk meneruskan usaha memujuk dan memotivasikan kumpulan guru terbabit supaya menerima suntikan vaksinasi.

“Adapun untuk mengambil tindakan hukuman kepada guru seperti menahan kenaikan pangkat dan gaji, maka ia perlu diperhalusi  dan keputusan itu perlu secara bijak dan hikmah serta melihat kepada peruntukan undang-undang.

“KPM juga perlu berbincang dengan dengan pihak JPA sebelum membuat sebarang keputusan dan tindakan tegas hukuman,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Semalam, KPM memutuskan untuk tidak membenarkan kumpulan guru yang enggan atau masih belum menerima vaksin COVID-19 terlibat dalam sesi pengajaran di dalam kelas serta berinteraksi secara bersemuka dengan pelajar.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menegaskan, tindakan itu dibuat bagi memastikan sesi persekolahan yang akan dibuka kelak selamat untuk kumpulan pelajar, guru dan pihak pengurusan sekolah.

Katanya, setakat ini, KPM mengenal pasti 2,500 orang guru yang enggan menerima vaksin di seluruh Malaysia atas faktor kesihatan serta sebab-sebab lain seperti tidak yakin dan sebagainya.

Susulan itu, Radzi berkata, KPM akan melaksanakan sesi libat urus bersama tenaga pengajar terbabit selain perbincangan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam masa terdekat dalam menentukan tindakan yang sewajarny diambil ke atas mereka.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button